HomeBeritaPemilik tanah dakwa dihalau penipu tandatangan

Pemilik tanah dakwa dihalau penipu tandatangan

BANGSAR: Isu tandatangan palsu bukanlah perkara baharu, malah isu seperti ini banyak melibatkan penipuan hartanah dan penggubahan wang haram.

Banyak kes pemalsuan tanda tangan telah didakwa bagaimanapun masih ada kes yang terlepas hukuman sebaliknya meletakkan kesalahan itu pada pihak lain.

Terbaharu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Nambikkai Malaysia (Nambikkai), Datuk Kalai Vanar mendedahkan seorang pemilik tanah di Sekinchan, Pathma Muniandy, 45, mendakwa walaupun geran tanah namanya namun keputusan mahkamah berbeza pula.

“Abang kandungnya disyaki memalsukan tandatangan pada dokumen penukaran hak milik tanah, boleh dilihat ada dua tandatangan berbeza pada dua dokumen.

“Keaslian tandatangan diragui keasliannya. Saya tidak mempertikaikan keputusan mahkamah.

“Tetapi kami berharap isu ini boleh disemak semula dengan memanggil pakar DNA bagi menjalankan siasatan ke atas keaslian tanda tangan itu.

“Tanah itu telah dikaveat di mana tiada pemindahan hak milik boleh dilakukan ketika ini,” katanya pada sidang media di Restoran Mahbub, Bangsar di sini.

Turut hadir empat adik beradik Pathma.

Dalam pada itu, Pathma menceritakan kronologi tanah berkenaan sebenarnya dimiliki oleh nenek mereka.

Pathma mendakwa pada 1990, abangnya telah memperdaya nenek untuk ke Pejabat Tanah dan Galian dengan mengatakan perlu menandatangani dokumen agar membolehkan kerajaan membayar pampasan.

“Nenek tidak faham Bahasa Melayu, telah menurunkan cap jari dan tandatangan tanpa memahami isi kandungan dokumen.

“Semua ahli keluarga tidak mengetahui perkara itu, nenek telah mewariskan tanah itu kepada ibu saudara.

“Ibu saudara setuju untuk menjualkannya kepada saya, saya telah membayar RM150,000 kepadanya dan telah mendapat geran pada tahun 2015.

Menurutnya lagi, setelah geran diperolehi, abangnya telah memfailkan di mahkamah dengan mendakwa tanah itu miliknya dan pada Julai lalu mahkamah mengarahkan tanah itu diserah kepada abangnya.

“Pada 4 Ogos lalu saya dan keluarga dihalau keluar, abang bawa polis mengiringi kami keluar dan pada 5 Ogos rumah yang didiami kami sejak 53 tahun terbakar.

“Abang telah membuat laporan polis mendakwa kami yang membakarnya dan kami empat beradik direman polis selama empat hari ,” katanya.

Sehubungan itu, Pathma berharap ada keadilan untuk keluarganya dan perkara ini boleh disemak kembali pihak Mahkamah Persekutuan.

Author

Pilihan Editor