HomeBeritaPengerusi Pembela letak jawatan

Pengerusi Pembela letak jawatan

KUALA LUMPUR : Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) hari ini mengeluarkan kenyataan memaklumkan Aminuddin Yahaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Sekretariat.

Keputusan itu dibuat selepas pengurusan tertinggi Pembela bermesyuarat dan sebulat suara menerima peletakan jawatan Aminuddin, pada 5 Oktober 2022.

Setiausaha Agung Pembela, Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid berkata seluruh ahli sekretariat dan beberapa NGO di dalam gabungan Pembela merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas segala jasa, sumbangan serta pengorbanan Aminuddin sepanjang tempoh khidmat beliau di dalam sekretariat.

“Pembela kekal menjadi gabungan NGO yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan meneruskan perjuangan untuk kedaulatan Agama Bangsa dan Tanahair melalui platform NGO.

“Sekretariat juga telah membuat keputusan untuk melantik Datuk Zainul Rijal Abu Bakar bagi menjalankan tugas-tugas Pengerusi berkuatkuasa 5 Oktober 2022 selama sebulan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Katanya, Datuk Zainul Rijal bersama barisan ahli sekretariat sedia ada akan mengetuai penstrukturan semula dasar, polisi, halatuju dan keanggotaan sekretariat dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan Pembela meneruskan kesinambungan perjuangan untuk kedaulatan agama, bangsa dan tanahair.

“Hal ini penting bagi Pembela kekal relevan menjadi wadah perjuangan ummat. Barisan pimpinan yang dimanahkan itu juga akan bermesyuarat dengan gabungan Pembela bagi melantik pimpinan baharu nanti.

“Seluruh Ahli Sekretariat Pembela mendoakan agar segala usaha yang diberikan Tuan Haji Aminuddin dan Datuk Zainul Rijal dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air terus mendapat keredhaan Allah SWT, sokongan aktivis yang seangkatan dan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya menyeru kepada semua untuk terus menyokong semua inisiatif dan aktiviti Pembela demi untuk agama bangsa dan tanah air,” katanya.

MEDIA VARIASI sebelum ini pada 24 September melaporkan, Aminuddin menggesa pihak berkuasa Selangor menggantung operasi madrasah di Jalan Kebun Shah Alam, yang tular baru-baru ini, buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.

Ketika itu, Aminuddin masih menyandang jawatan dalam Pembela, berkata demikian kerana bimbang jika berlaku perkara yang boleh mengundang risiko kepada penghuninya.

Author

Pilihan Editor