HomeBeritaPenyertaan MUDA ke dalam PH tak ganggu gugat AMK

Penyertaan MUDA ke dalam PH tak ganggu gugat AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tegaskan isu penyertaan MUDA ke dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengganggu gugat kedudukan mereka dalam parti.

Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim Razali berkata dalam sidang media di Pejabat Ayuh Malaysia, Kuala Lumpur pada Rabu, mereka menyerahkan isu tersebut tersebut kepada pimpinan pusat.

“Persoalan tentang MUDA, kemungkinan mereka akan menyertai PH, itu kita serahkan kepada pimpinan, namun di bahagian kita, di pihak AMK dan ‘Ayuh Anak Muda, itu tidak mengganggu apa pun usaha kita.

“Kerana di akhirnya matlamat kita adalah untuk memberi peluang dan suara kita nak jadi juru bicara masyarakat terutamanya anak muda.

“Jadi, segmentasi itu tidak terganggu, kita akan teruskan dengan usaha dan kerja kita, kerja buat kita masih sama, segmentasi ini tidaklah menganggu gugat kita punya strategi dan kekuatan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menambah bahawa pihak mereka juga telah menghantar satu memorandum yang ditandatangani Ketua-Ketua AMK Negeri menyatakan sebab-sebab membantah kemasukan MUDA ke dalam PH.

“Rasional-rasional itu dibuat melalui perkiraan-perkiraan daripada apa yang berlaku selepas dan sebelum ‘Langkah Sheraton’, dan juga dalam siri-siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Tetapi kita hormat kebijaksanaan pimpinan kita, kita menggunakan ruang-ruang yang ada untuk nyatakan suara, padangan dan harapan kita, selebihnya kita serahkan kepada pimpinan di peringkat pusat,” jelasnya lagi.

Dalam sidang media yang sama, AMK mengumumkan akan mengerakkan kempen ‘Ayuh Anak Muda’ yang akan bermula pada minggu ini dengan program berbentuk forum.

Author

Pilihan Editor