HomeBeritaPH fokus keperluan luar jangka ketika banjir - Dr Sathia Prakash

PH fokus keperluan luar jangka ketika banjir – Dr Sathia Prakash

ANTARA GAPI : Pakatan Harapan (PH) Hulu Selangor mengambil iktibar kesan bah besar melanda di Lembah Klang, tahun lalu dengan memfokuskan aspek psikososial dan barang keperluan asas paling tidak dijangka.

Pengerusi PH Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajah berkata,  bencana banjir berlaku hampir setiap tahun namun  keperluan asas semakin berubah mengikut peredaran semasa.

“Walaupun parlimen dah bubar, kita tetap kena fikir pasal banjir. Musim tengkujuh bulan 11, 12 memang biasa, tetapi yang penting rakyat.

“Jadi, kita perlu bersedia, bukan sahaja makan minum, pakaian tetapi berdasarkan pengalaman, walaupun nampak ‘simple’ tapi itu yang paling diperlukan seperti, lampu LED, lilin, mesin janakuasa, bateri sokongan, bot kayak dan ubat-ubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pelancaran Skuad Banjir Hulu Selangor di Antara Gapi di sini.

Justeru, Timbalan Setiausaha Agung PKR itu berkata, pihaknya perlu lebih bersiap sedia untuk mengendalikan 250,000 penduduk di kawasan seluas 1,700 kilometer persegi bersamaan saiz negeri Melaka itu, jika berlaku bencana.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan hotspot banjir terutama di kawasan berdekatan sungai.

Bagaimanapun, pihaknya juga lebih berhati-hati dengan fenomena tidak dijangka seperti kawasan yang tidak mengalami banjir dalam tempoh dua dekad lalu tetapi tiba-tiba menerima bencana.

“Kawasan tumpuan banjir seperti Serendah, Ulu Yam, Kampung Kuantan, Kampung Sungai Masin, berdekatan sungai.

“Kalau tak lebat di kawasan rendah, ia lebat banjir di laluan air tetap akan banjir.

“Jadi, saya fikir banjir ini tiada amaran. Seperti Kampung Jawa di Kuala Kubu Bharu pun boleh banjir walaupun dan 20 tahun tidak banjir, ia bergantung kepada taburan hujan yang tinggi,” katanya.

Author

Pilihan Editor