HomeBeritaPolitikPN tak gentar kedegilan BN, sedia sertai PRU15

PN tak gentar kedegilan BN, sedia sertai PRU15

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak gentar dengan kedegilan dan keangkuhan UMNO dan bersedia sertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah pilihan rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PN akan menyertai pilihan raya dengan tekad untuk meneruskan agenda prihatin rakyat serta mengangkat martabat umat dan negara.

PN siap siaga menyertai PRU15 dengan semangat yang tinggi bagi menyelamatkan negara dan rakyat Malaysia.

“Perkembangan politik semasa menggambarkan bahawa UMNO gagal merasai denyutan nadi rakyat dan gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi serta keadaan cuaca yang amat mencabar.

“PN menekankan peri pentingnya Kerajaan untuk memberi tumpuan kepada usaha-usaha bagi menghadapi kemungkinan banjir besar akibat Monsun Timur Laut bermula Oktober sehingga awal tahun hadapan.

“Ini termasuklah persiapan dari segi kelengkapan aset penting, bantuan makanan dan keperluan asas, akses kepada perkhidmatan kesihatan serta bantuan pasca banjir.

“Inilah PN yang senantiasa meletakkan kepentingan dan keselamatan rakyat sebagai
agenda terpenting.

“Hakikatnya, ada parti politik yang tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi tinggi kerana peratusan keluar mengundi yang rendah akan memberi lebih peluang kepada parti berkenaan untuk menang. Inilah wajah sebenar mengapa PRU15 diadakan dalam musim hujan lebat dan kemungkinan banjir besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Azmin, PN beriltizam terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama.

“Pembentangan Belanjawan 2023 adalah sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan.

“Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin.”

“Pendirian Perikatan Nasional tuntas dan bertanggungjawab supaya tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha-usaha mencerdaskan dan memulihkan ekonomi negara seperti menyediakan bantuan kewangan buat para peniaga kecil bagi
meneruskan aktiviti perniagaan, melanjutkan moratorium untuk tempoh yang lebih munasabah, mengawal inflasi serta terus berusaha mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Kerajaan PN telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang menyentuh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri. Inilah PN yang fokus untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara.

Pertumbuhan ekonomi negara pada suku tahun kedua 2022 sebanyak 8.9 peratus dan prestasi pelaburan serta perdagangan yang amat memberangsangkan adalah hasil langsung daripada Dasar Pelaburan Baharu negara yang diluluskan oleh Kerajaan PN pada April 2021.

Tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional telah mencipta hampir 300,000 peluang pekerjaan baharu dan sehingga suku kedua tahun 2022 telah melonjak kepada 539,000 peluang pekerjaan yang diberikan kepada rakyat.

Dalam tempoh pentadbiran PN, seluruh warga Felda telah menikmati manfaat daripada penghapusan hutang yang ditanggung bertahun-tahun oleh peneroka Felda.

Author

Pilihan Editor