HomeBeritaPolis minta saksi kemalangan melibatkan tiga kereta tampil bantu siasatan

Polis minta saksi kemalangan melibatkan tiga kereta tampil bantu siasatan

SHAH ALAM: Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam meminta agar orang awam yang menjadi saksi kemalangan melibatkan tiga kereta iaitu jenis Vios, Range Rover dan Bezza, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menerima satu laporan mengenai kemalangan jalan raya sekitar jam 6 pagi pada Ahad.

Menurut beliau, kemalangan tersebut berlaku di KM 17.1 Lebuh Raya Persekutuan melibatkan tiga kenderaan iatu kereta nombor VFV9832, kereta nombor BNT3 dan kereta nombor VGH3943.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kereta nombor VFV9832 jenis Vios yang memandu di lorong tengah tiba-tiba dilanggar kereta nombor BNT3 jenis Range Rover pada bahagian tepi sebelah kiri yang datang dari arah belakang sebelah kiri menyebabkan kereta Vios tersebut bergerak ke lorong kanan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan manakala kereta Range Rover itu berpusing ke sebelah kiri jalan.

“Kereta nombor VGH3943 jenis Bezza yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak telah terlanggar bahagian belakang kereta Vios itu,” kata Mohd Iqbal dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa-mangsa yang terlibat telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca-punca kemalangan berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 43-APJ 1987.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Isnpektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” katanya lagi.

Pilihan Editor