HomeBeritaPRU segera hanya untuk kembalikan kuasa UMNO - Mahathir

PRU segera hanya untuk kembalikan kuasa UMNO – Mahathir

CYBERJAYA: Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun. Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan pendirian UMNO untuk meminta pembubaran Parlimen dengan segera bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengembalikan hak rakyat.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, Barisan Nasional (BN) yang merampas kuasa dari rakyat yang memilih kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu melalui pintu belakang hasil kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Mahathir, UMNO meminta diadakan PRU15 dengan segera untuk membolehkan UMNO menjadi Perdana Menteri.

“PRU15 akan diadakan tahun ini bagi mengembalikan hak rakyat seperti yang dikatakan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan).

“Namun, sebabnya adalah untuk membolehkan UMNO menjadi PM dan memberi gula-gula kepada rakyat setelah belanjawan diawalkan untuk meraih sokongan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan berpeluang memenangi PRU15 kerana tidak lagi meraih sokongan dari UMNO dan PAS setelah mendirikan kerajaan pintu belakang melalui gerakan politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton pada Februari 2020 lalu.

“Parti Bersatu tidak akan memenangi PRU15 kerana tidak lagi mendapat sokongan dari UMNO dan PAS.

“Inila nasib parti yang menikam belakang kawan untuk mendirikan kerajaan pintu belakang. Langkah Sheraton telah membawa ketidakstabilan politik kepada negara. Ini kerana sebelum langkah Sheraton, kerajaan yang didirikan adalah sah dipilih oleh rakyat melalui PRU14.

“Langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali mencetuskan langkah Sheraton kini beralih menjadi boneka kepada perancangan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor