HomeBeritaPRU15: BN yakin rampas kembali Parlimen Ranau

PRU15: BN yakin rampas kembali Parlimen Ranau

CYBERJAYA: Barisan Nasional (BN) menzahirkan keyakinan mampu menawan kembali kerusi Parlimen Ranau pada Pilihan Raya Umum ke-15 dengan meletakkan calon yang tepat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Vennex Jasmin berkata, semua ahli akar umbi yang terdiri daripada Pemuda Bahagian Ranau sudah bekerja keras di kawasan itu untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahnya, berdasarkan maklum balas pengundi, trend sokongan kini beralih ke BN yang banyak menyelesaikan isu rakyat seperti kerosakan jalan, kemudahan infrastruktur dan mendekati pemuda di Ranau dengan memberi penerangan untuk mengwujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda sekiranya BN diberi mandat pada PRU15.

“Rakyat khususnya golongan muda memberi maklum balas positif kepada BN dan menilai hasil kerja kami untuk mereka. Akar umbi mahu calon dari pemuda untuk mewakili anak muda di Ranau. Ini kerana gerak kerja telah dilaksanakan oleh jentera pemuda dengan mendekati rakyat Ranau untuk memberi tumpuan menyelesaikan isu setempat.

“Kami serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi BN untuk meletakkan calon di Ranau. Tetapi sekiranya calon itu adalah dari Pemuda, kami yakin kerusi Parlimen Ranau menjadi milik BN pada PRU15 berdasarkan maklum balas pengundi kepada kami,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Jelas Vennex lagi, prestasi penyandang Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin tidak memuaskan dengan pelbagai isu masalah rakyat tidak diselesaikan oleh bekas Timbalan Menteri itu.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Ranau dimenangi Jonathan Yasin daripada Pakatan Harapan (PH) dengan 14,880 undian menewaskan Ewon Ebin daripada parti Barisan Nasional (BN) hanya raih 13,804 undi dengan membawa majoriti undi sebanyak 1,076.

Author

Pilihan Editor