HomeBeritaPolitikPRU15: MIC dijangka bertanding di Parlimen Teluk Intan, Padang Serai

PRU15: MIC dijangka bertanding di Parlimen Teluk Intan, Padang Serai

KUALA LUMPUR: Meskipun mengumumkan kekal bertanding di kesemua sembilan kerusi Parlimen tradisinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), MIC dijangka melepaskan satu kerusi tradisinya dan mencuba nasib di dua Parlimen baharu.

Menurut sumber dalaman parti, MIC dijangka bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan (Perak) bagi menggantikan kerusi Cameron Highlands (Pahang) yang diberikan kepada UMNO ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2019.

Perkara tersebut dikatakan telah dibincang bersama UMNO dengan syarat parti kaum India itu diberikan kerusi alternatif iaitu Teluk Intan dan Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah dilantik sebagai penyelaras di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov 2018 mengisytharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Bagaimanapun, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Mohd Nor daripada suku Orang Asli Semai memenangi PRK tersebut dengan majoriti 3,238 undi.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Sementara itu, MIC juga dijangka bertanding di kerusi Parlimen Padang Serai (Kedah) buat julung kali pada PRU15 sebagai kerusi tambahan selepas mengambil alih daripada MCA dan Sivarraajh dilantik sebagai penyelaras Parlimen Padang Serai.

Sivarraajh yang juga bekas Naib Presiden MIC berkata, beliau telah bekerja di kawasan berkenaan lebih dua tahun sejak 2019 selepas berjaya dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang beliau bertanding atau mengundi dalam pilihan raya selama lima tahun pada 2020.

“Saya telah bekerja di Padang Serai lebih dua tahun dan telah membantu masyarakat di kawasan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19,” kata bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau memfailkan semakan kehakiman pada 31 Disember 2018 bagi memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan SPR, yang dimaklumkan kepadanya melalui surat bertarikh 28 Disember 2018, yang tidak membenarkan beliau bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun mulai 13 Disember 2018.

Susulan keputusan SPR itu, Sivarraajh tidak dapat bertanding dalam PRK Cameron Highlands.

Pada PRU14, Teluk Intan yang ditandingi Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong jatuh ke tangan DAP apabila Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menang dengan majoriti 11,179 undi manakala calon MCA, Datuk Dr Leong Yong Kong di Padang Serai pula kecundang dengan calon PKR Karupaiya Mutusami yang menang dengan majoriti 8,813 undi. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor