HomeBeritaPRU15: NGO mesra PH hantar senarai calon sebagai rakan strategik

PRU15: NGO mesra PH hantar senarai calon sebagai rakan strategik

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Reformasi Rakyat Malaysia (RAPAT) dan Kumpulan Indian Action Team (I-ACT 2050) telah menawarkan untuk menjadi calon mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pengerusi RAPAT Malaysia, Rajaratnam Arumugam, senarai calon yang terdiri daripada ahli profesional yang terlibat aktif menerusi kerja-kerja amal dan kebajikan dalam kumpulan itu telah diserahkan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rakan strategik PH berdepan PRU15.

Walaubagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah dan kuota calon yang dihantar ke Majlis Presiden PH.

“RAPAT Malaysia dan I-ACT 2050 akan bekerjasama dengan semua parti komponen PH sebagai rakan strategik untuk menghadapi PRU15.

“Senarai calon sudah dihantar tetapi saya tidak boleh dedahkan jumlah. Terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan. Yang penting kita kena pastikan PH menang PRU15 untuk merangka satu polisi yang jelas memperjuangkan masyarakat India di negara.

“Kami memohon kerjasama serta sokongan PH dalam mempertimbangkan calon-calon dari NGO mesra PH untuk diketengahkan pada PRU15 ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Sentul Curry House, di sini pada Selasa.

Kata Rajaratnam, kumpulan I-ACT 2050 juga telah merangka sebuah manifesto khas untuk memperjuangkan komuniti India bagi mendapat pertimbangan daripada PH dimasukkan dalam sebahagian manifesto gabungan pembangkang itu dalam PRU15.

Dalam pada itu, beliau juga menyokong keputusan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyertai PH sebagai rakan strategik bagi menghadapi PRU15.

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC)  pada 29 Oktober ini yang membawa lima perkara iaitu calon Perdana Menteri dari PH, pembahagian kerusi antara parti komponen PH di seluruh negara, manifesto pilihan raya, lagu tema serta maskot yang akan digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Author

Pilihan Editor