HomeHiburanPU Syed mohon maaf selepas Caprice mahu dedah rahsia?

PU Syed mohon maaf selepas Caprice mahu dedah rahsia?

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, PU Syed tampil membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Caprice, membabitkan aurat isteri penyanyi rap itu.

Tindakan itu dibuat, dipercayai kerana bimbang rahsianya terbongkar sebaik sahaja Caprice memberi amaran untuk mendedahkannya bersama bukti, dan menuntut permohonan maaf daripada pendakwah itu, melalui Instagramnya.

PU Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, dia memohon maaf malah menurunkan catatan menyentuh isu aurat isteri pelantun lagu Lenglui itu.

“Ambe dengan ini akan menurunkan catatan yang mana di dalamnya ada menyentuh isu aurat isteri saudara Caprice dan memohon maaf jika di sana ada unsur-unsur negatif dan menganggu kehidupannya dan isteri.

“Pada masa sama, saya masih berharap agar sesuatu kes yang sedang berjalan di mahkamah tidaklah diulas lagi dan jika wujud bukti-bukti baharu melibatkan sesiapa pun, sila hadapkan ke muka pengadilan,” tulisnya menerusi hantarannya di Facebook.

Syed bagaimanapun, berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah kepada Caprice untuk terus mendedahkan rahsia atau sebaliknya.

“Tentang diri saya yang Caprice cuba dedahkan, terpulang kepadanya untuk terus dedahkan atau tidak.

“Permohonan maaf ini bukanlah bermakna saya nak pihak Caprice membatalkan hasrat pendedahan tersebut jika benar wujud dan melanggari batas syarak dan undang-undang negara.

“Kepada Allah sahajalah kita serahkan baik dan buruknya. Insya-Allah,” tulisnya di hantaran sama.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli bengang apabila aurat isterinya dipetik oleh Syed, dan beliau memberikan tempoh 24 jam untuk pendakwah itu memohon maaf secara terbuka.

“Salam PU Syed, Cap bagi hang 24 jam untuk buat permohonan maaf secara terbuka sebab tiba-tiba nak kait bini Caprice dengan kes jenayah seorang PU.

“Apa kaitan? Kenapa tiba-tiba nak petik? Jangan sampai Cap bongkar rahsia PU pula kat sini. Tak ada kaitan jangan mulakan. Jika tidak, kita pun boleh mulakan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Caprice juga telah bertindak menghantar mesej melalui WhatsApp kepada PU Syed untuk meminta penjelasan mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, Syed dianggap seperti ‘pilih bulu’ apabila berdiam diri dari mengulas isu yang sedang dihadapi PU Azman.

Dia juga sempat memetik nama Caprice yang dilihat sedang rancak melakukan siasatan sendiri selain menitipkan pesanan agar usahawan itu mengurus aurat isterinya dahulu sebelum layak jadi ‘tiger of al Quds’.

Author

Pilihan Editor