CYBERJAYA: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang menanggung derita diuji sakit.
Itulah yang dirasai pelakon veteran, Roslan Salleh yang kini semakin uzur kerana menghidap penyakit kencing manis tahap kritikal sejak 10 tahun lalu.
Khabar duka itu dikongsi oleh sahabatnya, ustaz Taufik menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Rabu.
Menurut ustaz Taufik, Roslan atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Lan kini tidak lagi boleh melihat kerana saraf matanya dimatikan oleh doktor bagi menghilangkan rasa sakit dan pening kepala yang dirasai bertahun lama akibat penyakit kencing manis.
“Hari ini saya luangkan masa lagi menziarahi Pak Lan di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah Melaka.
“Keadaan Pak Lan sangat lemah untuk bergerak ke mana-mana dan beliau terpaksa dipakaikan pampers setiap hari.
“Kakinya tak boleh bergerak langsung seperti biasa dan beliau terpaksa didukung oleh anak bongsunya setiap kali ingin dibawa ke mana-mana. Berat badannya juga susut akibat selera makan yang tak menentu,” tulis ustaz Taufik.
Justeru, ustaz Taufik menyeru seluruh kenalan Pak Lan agar terus berdoa supaya beliau dikurniakan kemudahan untuk terus menjalani kehidupan.
“Kepada pihak-pihak yang ingin membantu meringankan beban beliau sekeluarga, bolehlah berhubung dengan isteri ataupun anak-anak beliau.
“Hari ini hari susah beliau. Esok lusa mungkin hari susah kita pulak.
“Kita permudahkan urusan orang lain, mudah-mudahan Allah SWT akan permudahkan urusan kita juga,” ujarnya.
Roslan merupakan seorang pelakon versatil yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni dan pernah tampil dalam beberapa filem seperti Sembilu 2, Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan.