HomeBeritaSabah dilanda banjir, 43 mangsa dipindahkan ke PPS

Sabah dilanda banjir, 43 mangsa dipindahkan ke PPS

KOTA KINABALU: Banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah kerana hujan lebat berterusan dari petang semalam mengakibatkan seramai 43 orang mangsa dipindahkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

43 mangsa daripada 13 keluarga itu ditempatkan setakat jam 8 pagi tadi di PPS Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka sejak 7 malam semalam.

Pemantauan untuk memindahkan mangsa terperangkap banjir di sekitar Pekan Donggongon, Penampang giat dilakukan sehingga awal pagi tadi, kata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Banjir semalam juga mulai surut banjir sekitar pusat bandar raya termasuk di Kampung Rampaian, Manggatal, Kampung Keliangau, Jalan Sepanggar Tebobon, Kampung Tebobon dan Telipok.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pula, terdapat 76 orang mangsa banjir daripada 10 keluarga dipindahkan di PPS Pusat Komuniti Kospen Kampung Ketiau, Putatan semalam.

Kesemua mangsa dibenarkan pulang setelah banjir surut tengah malam tadi, manakala PPS Dewan PPR Sri Keramat, Putatan pula diaktifkan sebagai langkah awal persediaan banjir di daerah tersebut.

Selain itu, banjir juga menyebabkan kejadian tanah runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkawit, Papar dan penduduk di kawasan sekitar telah diarahkan berpindah ke kawasan selamat sekiranya paras air naik.

Antara kawasan sekitar Papar yang turut dilanda banjir ialah Kampung Tempasak, Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasak Kinarut, Kampung Langsat, Kampung Mikik, Kampung Sabandil, Kampung Kinuta, Kampung Nagapas dan Kampung Surapit.

Author

Pilihan Editor