HomeBeritaSarawak mahu ada wakil dalam Lembaga Pengarah LHDN

Sarawak mahu ada wakil dalam Lembaga Pengarah LHDN

 

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Menuntut perjanjian adil, Kabinet Persekutuan digesa bersetuju untuk meminda Akta Hasil Dalam Negeri 1995 (Akta 533) agar ‘wakil Sarawak’ turut berada di barisan Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hasrat itu ditegaskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ekoran keberadaan penjawat awam negeri dalam kalangan lembaga pengarah LHDN membolehkan negeri ini mengetahui hasil cukai yang dikutip di seluruh negara serta berapa banyak sumbangan Sarawak kepada tabung negara.

“Tindakan ini bagi Sarawak akan memberi keadilan bagi semua pihak yang terlibat dalam pengagihan hasil cukai kerana selepas Akta itu dipinda, apa-apa yang diterima oleh kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan adalah berdasarkan formula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita
selepas melakukan majlis pecah tanah Kompleks Ibu Pejabat Hikmah dan Bangunan Sekolah Tahfiz di Petra Jaya Kuching, Sarawak hari ini.

Menurut Abang Johari cadangan meletakkan wakil Sarawak ke dalam Lembaga Pengarah LHDN telahpun diusulkan sejak tahun lepas berhubung negeri ini giat merangka formula berapa banyak hasil yang perlu diterima oleh Sarawak setiap tahun.

“Ia sepatutnya berdasarkan formula dan bukan berdasarkan nombor tetap,” ujarnya memetik sekiranya negara memperoleh pendapatan tinggi namun Sarawak hanya diberikan jumlah yang tidak setimpal.

Sarawak bertegas memperjuangkan hak selayaknya iaitu mendapat bahagian yang adil daripada hasil negara, tekan Abang Johari yang mahu hasil negara diagihkan berdasarkan formula yang seimbang.

Sekiranya Akta itu dipinda selepas ini menurut Abang Johari wakil Sarawak dalam lembaga itu akan menjadi Setiausaha Kewangan Negeri (SFS).

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata Kabinet persekutuan telah meluluskan pindaan Akta 533 untuk memasukkan penjawat awam negeri dari Sabah dan Sarawak dalam lembaga pengarah pihak berkuasa.

Beliau berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet pada 30 September lalu dan cadangan pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen untuk mendapatkan kelulusan.

Author

Pilihan Editor