KUALA LUMPUR: Barisan keselamatan negara selesai pelaksanaan simulasi bencana di seluruh negara, sekali gus dalam kesiapsiagaan menghadapi banjir ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, simulasi komprehensif itu melibatkan lima zon di semua 14 negeri, Sabah dan Sarawak.
Katanya, bagi penugasan Op Banjir, PDRM akan dibantu oleh jabatan dan agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Simulasi ini melibatkan anggota PDRM dan kakitangan agensi lain. Ia dijalankan bukan sahaja sebagai kesiapsiagaan banjir tetapi juga persediaan dalam penugasan PRU15.
“Berdasarkan simulasi penugasan banjir, anggota Rela akan bertugas di luar kawasan mengundi manakala polis di dalam saluran mengundi.
“APMM pula ditugaskan ke pulau-pulau bagi penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas selain pemindahan mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Taklimat Op Banjir di Bukit Aman di sini.
Hamzah berkata, bagi mengatasi kekangan menggerakkan operasi pengurusan banjir sekiranya kekuatan anggota perlu diatur, pihaknya mendapatkan bantuan anggota Rela selaras dengan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih 94,000 daripada 120,000 anggota PDRM akan ditugaskan pada PRU15 berbanding 75,000 pada PRU14 berikutan pertambahan jumlah pengundi susulan pendaftaran secara automatik rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sebagai pengundi.
Katanya, semua ketua polis daerah juga diarah untuk melakukan persediaan awal bagi mengetuai pusat operasi pengurusan banjir di peringkat daerah masing-masing.
Jelas beliau, seramai 21,018 anggota polis bersama 1,681 aset diatur gerak, selain 4,367 pegawai dan anggota Rela bersiap sedia di lokasi-lokasi berpotensi banjir di seluruh negara.
Hamzah turut menambah, pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir turut diaktifkan di kawasan yang telah dinaiki air termasuk di Tanjung Karang, Selangor; Baling, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia PDRM di talian 03-2266 3333/ 03-2266 3444/ 03-2266 3451 atau talian MERS 999,” katanya.