HomeMV+BongkarSurau atas tanah kerajaan tetapi disaman

Surau atas tanah kerajaan tetapi disaman

GOMBAK: Senario yang berlaku hari ini adalah sesiapa yang memiliki keupayaan dari sudut kewangan mampu menyaman mana-mana pihak yang dikehendakinya.

Realiti sebenar di mahkamah pula adalah hanya siapa yang menang dan siapa yang kalah bukan semestinya yang menang itu benar atau yang kalah itu salah.

Sebelum ini, MEDIA VARIASI melaporkan pihak pemaju tanah menyaman pemilik asal tanah kurniaan Sultan yang cuba menuntut semula haknya.

Juga pernah didedahkan syarikat ejen pemasaran disaman oleh syarikat pengeluar produk yang gagal menunjukkan sebarang produk sehingga kontrak dibatalkan.

Begitulah juga yang berlaku ke atas Surau Al-Badar yang terletak di Jalan 1, Kepong Ulu di Mukim Batu, di kawasan Dewan Undangan Negeri Taman Templer yang  dibangunkan 10 tahun lalu.

Surau Al Badar

Ia direalisasikan atas permintaan kira-kira 100  penduduk Islam yang ketika itu memerlukan kemudahan untuk beribadah di kawasan penempatan mereka.

Datuk Badaruddin Nordin berkata, surau itu dibina di atas tanah kerajaan sebagai laluan orang ramai di sebelah jalan raya.

Surau berkenaan didirikan di Jalan 1 berikutan terdapat majoriti Melayu Islam, di Jalan 1, 2, 3 dan 4 kawasan sama.

“Itu pun selepas kami wakil jemaah membuat semakan pada tahun 2011 terhadap status tanah bahawa ia tidak dimiliki sesiapa dan diklasifikasi sebagai tanah saku atau tanah tersepit (pocket land) yang juga tanah kerajaan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Gombak.

Badaruddin bersama jemaah surau menyatakan kebimbangan ia akan diroboh

“Bagaimanapun, ketenangan beribadah yang mahu dicari bertukar kepada kegusaran apabila kami dikejutkan dengan notis saman kerana didakwa surau menceroboh kawasan jiran sebelah.

“Lebih pelik lagi, selain dikenakan ‘judgement’ (kertas penghakiman) dengan perlu membayar tuntutan berjumlah RM10,000 atas kesalahan yang tidak dilakukan, jiran yang menyaman saya bukanlah pemilik tanah di surau,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Dalam pada itu, katanya pihak jiran sebelah saman, dia kata tanah itu (tapak surau) adalah tanah dia.

“Selepas semakan dibuat di pejabat tanah, sahih tanah itu bukan dia punya, dan geran dia 20×80 kaki persegi sahaja, tidak termasuk tanah ini.

“Jadi, ini tidak adil apabila mengenakan saman ke atas saya sebagai individu dan kena bayar pula RM10,000.

“Saya tak bayar, sebab ini bukan salah saya. Bukan tanah saya, bukan tanah jiran tapi tanah kerajaan. Jadi kenapa dia keluarkan saman kata surau menceroboh, padahal tak ceroboh, dia bawa ke mahkamah mengatakan tanah itu disebut dengan Lot 3 sahaja, dia tidak sebut tanah yang diduduki oleh surau,” katanya.

Badaruddin juga pernah memanggil juruukur bertauliah yang mempunyai rekod kerjasama dengan PTG, bagi menguatkan lagi kesahihan status tanah yang menjadi isu.

“Dia (juru ukur) kata tanah itu (surau) tidak termasuk ( tanah jiran sebelah), surau tak menceroboh tanah jiran sebelah itu, jadi sahih tidak termasuk tanah jiran tetapi kenapa pihak tertentu mengatakan saya kena bayar saman itu?.

“Saya juga pernah menghantar surat kepada DO (pegawai daerah) terdahulu dan DO baharu tapi tiada maklum balas kedua-duanya. Apa sudah jadi?,” soalnya.

Beliau juga terpaksa merintih kepada pihak tertentu meskipun sedia maklum risiko mendedahkan isu ini kerana bimbang hak penduduk untuk beribadah di surau berkenaan akan dirampas selepas premis itu dirobohkan.

“Saya cuma mahu perkara ini dapat diselesaikan,” katanya yang sanggup menerima arahan meruntuhkan struktur bangunan itu demi kepentingan bersama.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan membuat satu dasar atau mekanisme agar sesuatu kes perlu diteliti sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan saman ke atas sesuatu isu.

“Jika semua pihak boleh mengambil tindakan sendiri, ketenteraman dan keharmonian awam pasti terancam,” katanya.

Author

Pilihan Editor