CYBERJAYA: Perpisahan bukanlah suatu hal yang mudah khususnya buat mereka yang mempunyai ‘kembar’.
Menyambung pengajian bersama adik-beradik kembar pastinya memberi keterujaan buat golongan tersebut kerana tidak perlu bimbang atas rasa ‘demam rindu’ berjauhan.
Itulah yang dinikmati tiga beradik kembar lelaki yang mendapat peluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) pada sidang akademik kali ini.
Ketiga beradik tersebut ialah Mohamed Azmin Dawlath Mohamed, 22; yang merupakan abang sulung bersama Mohamed Azwan Dawlath Mohamed dan Mohamed Azrul Dawlath Mohamed.
Ketiga-tiga beradik itu ketika ditemui berkata, mereka tidak pernah berpisah sejak dari bangku persekolahan dan mereka telah lama mempunyai matlamat yang sama untuk bersama-sama menyambung pengajian di USM.
Menurut Mohamed Azmin, ketiga-tiga mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Permai, peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda dalam aliran Sains, dan kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat diploma di Politeknik Seberang Perai juga dalam bidang yang sama, iaitu bidang perakaunan dan turut mendapat anugerah dekan ketika mengikuti pengajian di Politeknik.
“Kami tidak pernah berpisah dan berasa bersyukur kami diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di USM kerana semua perkara yang kami lakukan adalah bersama-sama, yang mana salah satunya ketika belajar di peringkat diploma segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah kami belajar dan selesaikan sama-sama,” kata Mohamed Azmin seperti dilapor USM pada Sabtu.
Ketiga beradik itu turut berkongsi cita-cita yang sama iaitu menjadi tenaga pengajar seperti guru dan pensyarah.
Untuk rekod, seramai 4,283 calon dari lepasan STPM/ Matrikulasi/ Asasi/ Diploma/ Setaraf menerima tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) dan Diploma di Universiti Sains Malaysia (USM) ke ketiga-tiga kampusnya bagi memulakan Sidang Akademik 2022/2023.