HomeBeritaTambahan bajet KKM amat diperlukan, bantu tingkatkan kredibiliti sektor kesihatan

Tambahan bajet KKM amat diperlukan, bantu tingkatkan kredibiliti sektor kesihatan

 

CYBERJAYA: Peruntukan RM36.1 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bajet 2023 amat dinanti-nantikan pihak kementerian itu dalam mempertingkatkan kredibiliti sektor kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin menyifatkan pembentangan Bajet 2023 khususnya bagi sektor kesihatan hari ini adalah pengiktirafan kepada kepentingan penjagaan kesihatan.

Menurutnya, peruntukan tambahan RM4 bilion berbanding tahun ini selari dengan aspirasi kesihatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sebagai satu keutamaan kerajaan.

“Peruntukan ini antara peningkatan jumlah perbelanjaan terbesar dalam kalangan kementerian jika dibandingkan dengan keseluruhan peruntukan bajet Kerajaan Persekutuan 2023 yang berjumlah RM372.3 bilion iaitu sebanyak 11.05 peratus.

“Peningkatan dalam peruntukan kepada KKM dalam Bajet 2023 adalah satu pelaburan yang amat diperlukan bagi memastikan Keluarga Malaysia kekal sihat, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran di Facebook pula menyatakan, peruntukan tambahan itu bakal memudahkan urusan KKM dalam membina, mengganti serta membaiki klinik kesihatan yang usang.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatinan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2023 sebentar tadi.

“Peruntukan tambahan RM4 billion berbanding dengan tahun 2022 adalah amat dinanti-nantikan untuk mengganti dan membaiki kilink desa dan klinik kesihatan yang usang serta penggantian peralatan perubatan dan bukan peralatan perubatan untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan terutamanya di fasiliti kesihatan di kawasan pendalaman,” tulisnya ringkas.

Author

Pilihan Editor