PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim menitipkan kata-kata nasihat serta mendoakan penyerang sayap sensasi pasukannya, Arif Aiman.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) menasihatkan Aiman agar terus kekal berdispilin, berazam tinggi namun merendah diri memandangkan bintang muda itu masih muda serta memiliki tempoh perjalanan yang jauh untuk mengembangkan bakatnya.
“Tahniah Arif. Kekal merendah diri, bercita- cita tinggi dan disiplin. Anda masih muda dan perjalanan masih jauh.
“Saya berdoa semoga Allah sentiasa berkati anda, dan kurniakan banyak lagi rezeki dan kejayaan. Jaga diri,” katanya menerusi ruangan komen di laman Instagram penyerang muda itu.
Pemain Harimau Malaya itu juga mengambil nasihat pemilik kelabnya serta berterima kasih atas pesanan yang diberikan untuk dijadikan sebagai rujukan dalam membangunkan kerjayanya.
“Menjunjung kasih Tunku atas segalanya. Saya akan sentiasa ingat pesanan Tunku kepada saya, insyaAllah,” jelasnya.
Meninjau di ruangan komen, terdapat segelintir penyokong menyatakan pesanan yang ditinggalkan TMJ merupakan nasihat sebelum Arif berhijrah ke kelab di luar negara.
Persembahan konsisten Arif Aiman yang sering mencetuskan gerakan bahaya kepada pertahanan lawan berjaya membantu pasukan JDT muncul juara Liga Super musim 2022 sekaligus mengekalkan kejuaraan untuk 9 tahun berturut-berturut.
Kecemerlangan Arif pada musim ini berterusan setelah meledak jaringan pertama ketika membawa JDT menjuarai Piala FA menewaskan Terengganu 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil.
Melihat kepada prestasi terkini Arif, tidak mustahil pemain lincah itu akan berkelana di luar negara bermain untuk kelab eropah dengan dua kejayaan beliau terkini memenangi Liga Super dan Piala FA serta membawa pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia menewaskan Bangladesh dengan jaringan besar 4-1.