HomeSukanUCL2022: Haaland terus menggila, jaring dua gol bantu City belasah Copenhagen 5-0

UCL2022: Haaland terus menggila, jaring dua gol bantu City belasah Copenhagen 5-0

MANCHESTER City mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2022/2023 dengan mencatatkan kemenangan besar 5-0 ketika menentang kelab dari Denmark, Copenhagen pada perlawanan di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Kemenangan tersebut membawa City menjadi pendahulu kumpulan G dengan kutipan sembilan mata dalam tiga perlawanan setakat ini.

Pesta gol City bermula hasil dua jaringan penyerang berbisa mereka, Erling Haaland pada babak pertama sebelum beliau dikeluarkan sebelum separuh masa perlawanan bermula.

Penyerang antarabangsa dari Norway membuka tirai gol melalui rembatannya dalam kawasan penalti hasil umpanan lintang pemain bek kiri, Joao Cancelo pada minit ke-7.

Haaland menambah jaringan pada minit ke 32 dengan mudah menolak masuk ke gawang gol selepas percubaan Sergio Gomez ditampan oleh penjaga gol pasukan pelawat, Kamil Grabara.

City terus menambah gol sebelum aksi babak pertama berakhir dengan jaringan gol sendiri dengan rembatan Gomez sekali lagi dari luar kotak penalti terkena Davit Kocholaba dengan menerjah masuk ke gawang sekaligus menjadikan kedudukan 3-0.

Pada separuh masa kedua, jaringan penalti Riyad Mahrez pada minit ke-55 melebarkan kedudukan City mendahului 4-0 setelah pertahanan tengah, Aymeric Laporte dikasari Marko Stamenic.

Julian Alvarez melengkapkan malam gemilang City dengan menjaringkan gol kelima pada minit ke-76 menyempurnakan hantaran Riyad Mahrez.

Author

Pilihan Editor