HomeBeritaPolitikUMNO berjiwa besar terima kembali PAS walau dikhianati - Asyraf Wajdi

UMNO berjiwa besar terima kembali PAS walau dikhianati – Asyraf Wajdi

CYBERJAYA: Tawaran UMNO untuk menerima kembali PAS bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) sudah cukup membuktikan UMNO berjiwa besar walaupun sudah dikhianati berkali-kali, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat, berkongsikan mengenai pertemuan di antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti UMNO dan PAS pada Rabu lalu, sehari sebelum PAS membuat keputusan kekal bersama Bersatu-Perikatan Nasional (PN).

“Pertemuan ini adalah ikhtiar terakhir UMNO berlapang dada menerima PAS bagi menyelamatkan MN yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan menjadi pembangkang, atas deraian air mata kesyukuran, bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi PAS yang membawa mesej bahawa Majlis Syura PAS dan Muktamar PAS telah membuat resolusi mahukan hubungan PAS dan UMNO dipulihkan kembali. Dewan Ulamak PAS juga dikhabarkan membuat resolusi serupa.

“Justeru, UMNO sudah cukup berjiwa besar menerima kembali PAS, walaupun dikhianati apabila PAS bersetuju mendaftarkan PN bersama Bersatu sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN,” katanya.

Tambah Asyraf Wajdi, UMNO turut menawarkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menang kepada PAS untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada PAS.

Menurutnya, PAS menegaskan dalam pertemuan tersebut bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada PAS.

“Namun bagi UMNO, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sebagai sebuah parti perjuangan, UMNO tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba.

“Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan, kerana UMNO yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata, hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan,” tegasnya lagi.

Author

Pilihan Editor