HomeBeritaUMNO Perak tubuh pasukan Briged Sukarelawan banjir

UMNO Perak tubuh pasukan Briged Sukarelawan banjir

 

IPOH: UMNO Perak mengambil inisiatif menubuhkan Pasukan Briged Sukarelawan Banjir sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan bencana banjir, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang bermesyuarat semalam memutuskan pasukan itu akan diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri, Datuk Ariff Majid.

“Sebagai langkah kesiapsiagaan, pasukan itu telah diarahkan supaya mengatur penempatan aset dan sukarelawan misi bantuan untuk bersiap sedia turun ke kawasan yang dilanda banjir.

“Pasukan berkenaan ditugaskan untuk membantu melicinkan tugas pasukan operasi menyelamat termasuk memindahkan mangsa banjir yang terkandas serta menghantar bantuan makanan dan minuman di lokasi terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saarani berkata, selain menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir, pasukan itu akan ditugaskan membantu membersihkan kawasan rumah, sekolah dan bangunan awam yang terjejas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan Kelantan, Terengganu dan Pahang akan menerima episod hujan lebat berterusan yang dijangka antara November hingga Disember ini, dan mulai Disember 2022 hingga Februari 2023, episod hujan lebat berterusan dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor