HomeGaya HidupUsah berkira beli Batik Malaysia, nilai setanding usaha

Usah berkira beli Batik Malaysia, nilai setanding usaha

KUALA LUMPUR: Harga batik Malaysia lebih tinggi berbanding batik Indonesia kerana ia dihasilkan menggunakan titik peluh sendiri bukan menggunakan bantuan mesin.

Perbezaan harga setanding usaha namun lebih berharga jika rakyat di tanah air sendiri yang menghargai keindahan dan keaslian batik Malaysia.

Ibarat hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, sebaik-baik negeri orang tidaklah sebaiknya daripada negeri sendiri.

Menurut sejarah orang lama, batik adalah himpunan kata asal daripada baju tiga kuasa, dijadikan pemakaian yang diusahakan orang Melayu tidak lama dahulu.

Baju tiga kuasa iaitu bermaksud tiga fungsi kuasa kepada pemakainya sama ada raja, panglima atau rakyat.

Selain berfungsi sebagai pemakaian menutup badan, si pemakai akan menterjemahkan setiap corak batik dalam kehidupan harian iaitu pemilihan corak mempamerkan peribadi seseorang.

Sebagai contoh, orang yang memiliki watak sederhana biasanya memilih corak yang lebih halus, tidak terlalu menonjol.

Berbanding orang yang berperwatakkan agresif, berkeyakinan akan memilih corak atau motif lebih menyerlah dan berani.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Kraftangan Malaysia cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Zuridah Zainal Abidin berkata, pihaknya sentiasa mempunyai jadual yang padat dalam mempromosi kesedaran batik Malaysia supaya lebih dikenali dan lebih dihargai oleh rakyat dalam negara sendiri.

Ini berikutan, katanya, pihaknya menerima banyak kritikan mengenai harga batik Malaysia yang terlalu mahal berbanding batik di negara jiran.

Katanya, ia berpunca kerana kurang pengetahuan mengenai asal usul batik Malaysia, malah tidak tahu pembuatan batik tempatan ini lebih unik.

“Sebenarnya, kita memang akan selalu bertanya pengunjung adakah mereka boleh membezakan batik Malaysia dengan batik luar.

“Kita akan beritahu pada mereka bahawa, batik Malaysia menggunakan teknik blok, ikat celup dan canting jika dibandingkan dengan batik luar, banyak menggunakan ‘printing’ sahaja dan kosnya murah.

“Kita ada teknik, lebih rumit tetapi unik, sebab itu mereka pertikai kenapa batik Malaysia harga mahal,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian pada program promosi kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia dengan tema Ini Batik Malaysia hasil kerjasama Kraftangan Selangor dan Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Publika, di sini.

Seramai 30 usahawan tempatan daripada pelbagai negeri membabitkan merangkumi 19 daripada perniagaan batik dan tekstil, aneka kraf (8), hasil tanah (2) dan logam (1).

Sementara itu, Zuridah berkata, pihaknya mahu terus berusaha memartabatkan batik Malaysia dan rakyat menerima hasil usaha produk tempatan sendiri.

“Inilah batik Malaysia, kita beri pendedahan pasa orang awam membezakan batik Malaysia dan batik luar.

“Walaupun kita adakan di kawasan elit, tetapi kita masih dapat permintaan untuk mempromosi kraftangan kita di beberapa pusat beli-belah di tempat lain,” katanya.

Author

Pilihan Editor