HomeBeritaZahid dakwa pembangkang takut kalah PRU15

Zahid dakwa pembangkang takut kalah PRU15

CYBERJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pihak pembangkang takut kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, keputusan kepimpinan tiga negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat menunjukkan ketidaksediaan pembangkang berdepan PRU dan menghadapi Barisan Nasional (BN).

Katanya, pengalaman kekalahan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor, Sarawak menunjukkan mereka tidak lagi diterima pengundi dahulu.

“Inilah kebimbangan utama PH dan musuh BN. Maka, bagi mengelak kekalahan ini, mereka terus cuba elak daripada berdepan PRU yang tidak memihak kepada kemenangan mereka.

“Mereka sanggup arah kerajaan negeri mereka agar tidak bubar DUN atas ketakutan ini. Sedangkan mereka juga bising apabila membuat pilihan berasingan sebelum ini,” kata Zahid dalam kenyataan di Facebooknya pada malam tadi.

Dalam kenyataan sama, Zahid turut menyebut berkenaan alasan pembangkang tidak mahu bubar DUN kerana kos pilihan raya sangat besar dan isu musim tengkujuh.

Tegasnya, alasan pembangkang ini basi dan menyerlahkan lagi ketidakberanian mereka berdepan BN dalam PRU15.

“Kesemua alasan pembangkang adalah untuk menutupi kehilangan sokongan rakyat yang sedang berlaku. Sebenarnya PH dan pembangkang dihantui oleh janji-janji pilihan raya yang tinggal janji kosong.

“Pengundi kini tidak lagi terpesona dengan cakap dan janji PH apabila pemimpin mereka berkempen sekarang ini. Tidak lagi seperti PRU 2018,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor