SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor bersetuju menyediakan 20 unit Bas Smart Selangor bagi membantu pengguna LRT yang terkesan dengan gangguan perkhidmatan LRT.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di Bangunan SUK Selangor pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan negeri berdukacita dengan insiden gangguan sistem LRT laluan Kelana Jaya pada Selasa yang akan berlarutan sehingga seminggu, juga melibatkan operasi 16 stesen LRT ditutup.
Justeru, katanya, perkhidmatan 20 unit Bas Smart Selangor bagi membantu RapidKL mengatasi masalah gangguan LRT itu akan bermula pada Khamis, 10 November ini.
“Bagi membantu ribuan pengguna yang terkesan akibat pemberhentian operasi terbabit dan juga jumlah bas yang tidak mencukupi bagi membawa pengguna LRT, Kerajaan Negeri bersedia berbincang dengan RapidKL menggunakan 20 unit Bas Smart Selangor mulai 10 November,
“Bas-bas ini perlu diselaraskan dengan RapidKL kerana kita tidak mahu ada proses pertindihan atau pun perjalanan yang tidak membawa kesan
“Kita cuba memaksimumkan penggunaan 20 unit Bas Smart Selangor daripada lebih kurang 160 laluan yang telah ada, kita akan ambil sebahagiannya untuk menambah jumlah bas dengan koordinasi RapidKL,” kata Amirudin.