HomeBerita20 rumah di Kampung Pandan rosak akibat ribut

20 rumah di Kampung Pandan rosak akibat ribut

AMPANG: Ujian buat penduduk Kampung Pandan apabila 20 buah rumah di kawasan itu mengalami kerosakan susulan dilanda ribut pada petang Ahad.

Ketua Kampung Pandan, Syed Abdul Halim Syed Harman berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang itu mengakibatkan semua rumah terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

“Kejadian itu juga menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap tiga buah kenderaan penduduk.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Tambah Syed, pihaknya akan menghantar laporan berhubung kejadian itu ke Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk tindakan lanjut.

“Saya difahamkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah akan menghulurkan bantuan kepada mangsa,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor