IPOH: Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menafikan adanya akujanji ditandatangani beliau yang tular, kononnya akan mencalonkan dan menyokong Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.
Beliau turut mengesahkah bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang tular itu adalah palsu dan tidak benar.
“Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas ia perancangan memburukkan UMNO dan BN ketika musim PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.
Beliau berkata tiada sebarang akujanji sedemikian.
Akujanji tular itu antaranya menyatakan Shamsul Anuar berikrar mencadangkan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri setelah memenangi kerusi Parlimen Lenggong serta mendesak kerajaan dibentuk oleh mana-mana parti yang bekerjasama dengan UMNO dan BN bagi menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan kepimpinan parti berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata akujanji yang wujud hanyalah mengandungi ikrar taat setia kepada parti, bertujuan mengukuhkan parti dan mengelak kemungkinan calon BN yang menang melompat parti.
Beliau berkata akujanji adalah amalan biasa bagi setiap pilihan raya dan perlu ditandatangani setiap calon.
“Saya nak sebut bahawa semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah, Melaka dan Johor, semua ada tandatangan akujanji. Pilihan Raya Umum (PRU) juga mereka tandatangan dan ia bukanlah satu masalah sebab itu untuk kukuhkan parti.
“Tiada perkataan itu (mengangkat Presiden UMNO sebagai PM dan gugur kes mahkamah). Itu adalah fitnah. Apa yang ada adalah taat setia kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri malam ini. – BERNAMA