HomeBeritaBayi baru lahir terpaksa hidup bergelap di Puchong gara-gara 'blackout' berpanjangan

Bayi baru lahir terpaksa hidup bergelap di Puchong gara-gara ‘blackout’ berpanjangan

PUCHONG: Gara-gara terputusnya bekalan elektrik di Kawasan Perumahan PDM Puchong Permai, kira-kira 120 orang penduduk terkesan termasuklah seorang bayi perempuan yang baru lahir.

Bayi perempuan tersebut merupakan cucu kepada salah seorang penduduk di situ iaitu Rubiah Abdul Aziz yang berkongsi kepada MEDIA VARIASI mengenai kejadian tersebut.

Kejadian tersebut dikatakan bermula pada Sabtu malam semasa semua penduduk kawasan sedang bergotong-royong membersihkan bilik elektrik kawasan perumahan itu.

Ketua PDM Wanita Puchong Permai itu berkata, semasa sedang berkemas, tanpa mengetahui puncanya, tiba-tiba berlaku sebanyak dua kali letupan dari bilik elektrik tersebut.

Menurutnya, pihak mereka sudah menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyelesaikan masalah tersebut namun gagal.

“Dari situ, punca dari semalam, sampailah sekarang ini, elektrik masih tiada, kita sudah hubungi TNB, mereka cakap itu bukan urusan dan masalah TNB, katanya kami perlu panggil kontraktor.

“TNB datang tetapi tak boleh nak buat apa, apa-apa pun kami kena berurusan dengan kontraktor, jadi macam mana kami nak buat dengan kontraktor ini?” katanya.

Rubiah yang kesal dengan pilihan untuk menggunakan perkhidmatan kontraktor meluahkan bahawa perkara itu akan menyukarkan lagi keadaan.

Hal ini adalah kerana, kontraktor perlu dibayar dan mereka perlu membeli barang gantian kerosakan, ditambah lagi dengan hari minggu ini pastinya pemulihan bekalan elektrik itu akan lambat.

“Nak tunggu esok, macam mana nak tunggu sampai esok? Sudah beberapa hari kami tak ada elektrik.

“Saya lagilah, rumah dengan anak sedang berpantang, ada cucu kecil lagi, dan malam tadi cucu menangis-nangis, dengan nyamuknya, dengan panasnya, macam mana kita nak buat, berapa lama lagi nak tunggu elektrik boleh ada,” luahnya lagi.

Katanya perkara itu menyukarkan lagi keadaan buat cucunya kerana bayi tersebut baru sahaja berusia tiga minggu, dan terpaksa menghadapi keadaan tidak selesa itu untuk berhari-hari.

Dalam pada itu, Rubiah turut menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang telah sedikit sebanyak membantu mempercepatkan proses pemulihan bekalan elektrik di situ.

“Kami penduduk di sini juga mengucapkan terima kasih juga kepada Datuk Seri Syed Ibrahim yang telah membantu kami serba sedikit, terima kasih banyak-banyak.

“Beliau membantu kami untuk mempercepatkan proses memulihkan semula bekalan elektrik di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Kenduri Rakyat yang diadakan oleh penduduk kawasan perumahan itu pada Ahad.

Syed Ibrahim yang hadir kenduri tersebut juga dilihat sempat beramah mesra dengan penduduk kawasan sambil bertanya khabar mereka.

Untuk rekod, sebanyak 20 buah rumah dari tiga blok perumahan terkesan dengan kejadian terputusnya bekalan elektrik di kawasan itu.

Menurut TNB seperti dimaklumkan Rubiah, letupan dan kerosakan yang berlaku di bilik elektrik tersebut kemungkinan berpunca daripada plug atau fiusnya yang sudah lama dan perlu diganti.

Author

Pilihan Editor