CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak melantik mana-mana individu yang mempunyai kes mahkamah sebagai anggota Kabinet demi menjaga kestabilan politik Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, Anwar bakal menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa korupsi boleh ditoleransi jika ‘maslahat lebih besar’ dapat dicapai melalui pelantikan mereka yang terpalit dengan kes rasuah.
“Walaupun Perdana Menteri baharu sedang mempertimbangkan Kabinetnya, beliau sedang didesak untuk membentuk pasukan yang bukan sahaja daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) malahan juga ahli Parlimen daripada parti-parti lain yang memberikan beliau jumlah yang majoriti untuk membentuk kerajaan.
“Antara calon untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih menjalani perbicaraan melibatkan 47 pendakwaan rasuah. Individu lain yang juga sedang dibicarakan adalah Lim Guan Eng (DAP), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO).
“Pendirian saya adalah mana-mana orang yang sedang menjalani kes jenayah tidak sepatutnya dilantik ke dalam Kabinet sehinggalah dibebaskan sepenuhnya oleh mahkamah tanpa campur tangan eksekutif melalui pengguguran pendakwaan oleh Peguam Negara, yang sebenarnya merupakan lantikan politik,” katanya seperti dilapor Sinar Harian pada Rabu.
Tambah beliau, Malaysia masih mempunyai ramai bakat dalam kalangan ahli-ahli Parlimen dan tidak akan sengsara tanpa sumbangan mereka (kluster mahkamah).
Katanya, Bersih akan terus konsisten menyuarakan kebimbangan dan pandangan terhadap tata kelola dan proses demokrasi.
“Peranan masyarakat sivil dan aktivis dalam negara adalah untuk menjadi suara nurani bagi kebenaran.
“Kami akan terus bersuara terhadap apa yang diterima sebagai adil, inklusif, baik dan rasional supaya kuasa akan terus diperingatkan tentang tanggungjawab mereka terhadap kita,” ujarnya.