HomeBeritaBertanding di Shah Alam ibarat sirih pulang ke gagang bagi Afif

Bertanding di Shah Alam ibarat sirih pulang ke gagang bagi Afif

CYBERJAYA: Calon PN Parlimen Shah Alam, Dr Afif Bahardin tegaskan beliau tidak pernah lari dari kawasan asalnya kerana beliau sendiri berasal dari Shah Alam.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam itu berkata demikian dalam ciapan Twitternya semalam bagi mengulas mengenai desas-desus bahawa beliau ‘lari’ dari Pulau Pinang untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Shah Alam.

Beliau juga sempat menyindir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beralih kawasan bertanding PRU15 dalam ciapan tersebut.

“Shah Alam adalah kampung halaman saya. Ibaratnya sirih pulang ke gagang. Tiada istilah lari.

“Lari dari kampung ini contohnya dia asal Permatang Pauh, lepas tu lari pi Port Dickson, lepas tu lari lagi pi Tambun. Ini contoh!” katanya.

Untuk rekod, Afif dibesarkan di Shah Alam, Selangor, menerima pendidikan menengahnya di Maktab Rendah Sains MARA Lenggong, Perak dan pendidikan universiti di Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan dan pembedahan.

Terdahulu, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Pulau Pinang Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang (EXCO) untuk Pertanian dan Industri berasaskan Agro, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan di bawah PKR.

Namun, pada 2020, beliau mengikut langkah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberi sokongan kepada Perikatan Nasional melalui Bersatu.

Dalam ciapan lainnya, Afif menegaskan beliau tidak melompat parti daripada PKR kepada Bersatu kerana beliau dipecat parti sebelumnya selepas meletakkan jawatan sebagai EXCO di Pulau Pinang.

“Tiada istilah lompat. Selepas saya meletakkan jawatan EXCO secara rela hati. Saya digantung keahlian parti kerana laksana program bantu rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac 2020. Kemudian saya dipecat parti!” katanya lagi.

Beliau juga telah menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaa (NGO), Pemuda Negara yang dijadikan wadah suara anak muda daripada pelbagai bangsa berdasarkan prinsip demokrasi, keadilan dan kemakmuran bersama.

Beliau ketika ditemui MEDIA VARIASI semasa Pengumuman Calon PRU15 PN pada Selasa lalu, berkata, akan mengetengahkan isu bagi menyediakan anak muda Shah Alam berhadapan cabaran-cabaran masa hadapan yang akan tiba.

Tegasnya, pembahagian ekonomi yang saksama perlu dilaksanakan bagi menyediakan perumahan, pekerjaan, peluang latihan dan pendidikan yang terbuka dan mudah untuk diakses kepada anak muda Shah Alam.

Author

Pilihan Editor