HomeBeritaPolitikBila saya berjanji, saya akan tunaikan - Syed Ibrahim

Bila saya berjanji, saya akan tunaikan – Syed Ibrahim

PUCHONG: Calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mengetengahkan isu beberapa janji atau manifesto daripada PH yang memegang kawasan Parlimen Puchong sebelum ini tidak ditunaikan, untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) itu, apabila nama beliau disebut-sebutkan tercalon untuk Parlimen Puchong, beliau banyak membuat kerja turun padang dan berbual dengan masyarakat di situ.

Katanya, beliau dimaklumkan mereka bahawa banyak masalah yang timbul di situ sudah lama tidak diselesaikan, dan dapat dilihat banyak janji mereka tidak ditunaikan.

“Dulu memanglah, yang 2014 dan 2018, satu masa yang banyak fitnah yang dijajakan di sini yang meruntuhkan UMNO dan BN, itulah kelemahannya, itulah sebab mereka mendapat undian yang banyak pada masa itu.

“Tetapi sekarang ini orang sudah sedar, orang sudah tahu pasal semua yang mereka janjikan pada waktu itu terutamanya manifesto, mereka tak tunaikan.

“Janji ini satu perkara, yang orang kita, rakyat sendiri, kalau seseorang itu kata ‘aku janji’, ‘saya janji saya akan buat’, bila tak buat ini memanglah orang tidak akan terima mereka ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI dalam satu temu bual eksklusif pada Jumaat lalu.

Syed Ibrahim yakin pihaknya boleh memenangi kawasan itu setelah turun dan lihat sendiri masyarakatnya di mana mereka mula sedar kesilapan mereka memilih PH semasa PRU14 pada 2018 lalu.

“Pasal dia pilih satu parti yang mereka anggarkan boleh bawa perubahan di sini, tetapi tak dapat, jadi itulah satu-satunya yang saya fikirkan yang mana saya ada empat, lima perkara yang mereka tak tunaikan, masyarakat tempatan di sini memang mengalami masalah.

“Dari situ saya akan ambil, dan saya akan pastikan selesaikan satu per satu kalau mereka pilih saya sebagai Ahli Parlimen Puchong,” ujarnya.

Syed Ibrahim menjelaskan matlamatnya bertanding dalam PRU15 adalah bukan bertujuan politik, menurutnya, walaupun dalam KIMMA mereka adalah parti, tetapi mereka menganggap diri mereka adalah keluarga BN.

Beliau tidak membezakan orang Cina, India dan Melayu, beliau berkawan dengan semua orang, dan beliau tidak suka mengkritik orang lain.

“Dalam ucapan saya di mana-mana mesyuarat atau pun kita bersama dengan pemuda, satu sahaja yang saya cakap, saya akan buat apa yang saya nak buat, itu yang saya kata.

“Saya bukan nak dapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi, kritikan ke atas pemimpin-pemimpin lain untuk dapatkan undi, saya tidak percaya itu semua. Jadi diri saya akan buat apa yang saya kata, saya pastikan akan tunaikan,” tegasnya.

Beliau berkata, antara janji PH yang tidak ditunaikan kepada penduduk Puchong ialah masalah kesesakan jalan raya dan tol yang tidak dimansuhkan.

Selain itu, masalah banjir dan pembinaan rumah-rumah mampu milik terutamanya bagi golongan B40.

Menurut beliau, sebelum ini BN pernah mempunyai rancangan pembinaan rumah-rumah rakyat itu tetapi semua itu dimansuhkan.

Justeru, beliau menjamin akan memastikan masalah itu dapat diselesaikan.

“Saya ingin memberikan keyakinan kepada rakyat Puchong, janji-janji ini saya akan tunaikan, apa yang saya boleh buat saya akan janji, kalau sesuatu itu saya tidak boleh buat saya tidak akan janji.

“Bagi satu peluang kepada saya untuk menerajui Parlimen Puchong, insya-Allah saya akan bawakan perubahan di sini,” ujar individu yang banyak membantu orang susah tidak kira bangsa dan agama itu.

Author

Pilihan Editor