KUALA LUMPUR: Enam individu cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang ketika melalui Jalan Mahkota, Taman Maluri di sini, petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 1 Mazuri Mat Zain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 4.07 petang dan seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Bandar Tun Razak dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikerahkan untuk memberi bantuan.
Beliau berkata kejadian berkenaan melibatkan tiga kereta dan sebuah motosikal yang dihempap pokok susulan hujan lebat dan angin kencang.
“Enam mangsa terbabit terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita serta dua kanak-kanak yang berusia lingkungan dua hingga 70 tahun itu mengalami trauma dan kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.
“Usaha memotong dan mengalihkan pokok tersebut sedang dijalankan bagi membuka laluan yang terhalang. Operasi turut dibantu pihak Angkatan Pertahanan Awam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA