CYBERJAYA: Calon PH Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencabar barisan pemimpin UMNO-BN yang bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membuat pengisytiharan harta.
Ketua Penerangan PKR itu membuat cabaran secara terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
“Ismail Sabri, Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, KJ bila nak isytihar harta? Berani?” ujar Fahmi ringkas melalui ciapan di Twitternya pada Selasa.
Terdahulu, PKR menyiarkan secara umum menerusi laman web calonkeadilan.org. aset bersih terkumpul membabitkan 80 calon PKR yang bertanding peringkat Parlimen PRU15.
Antara nama-nama pemimpin PKR bertanding PRU15 yang sudah dipaparkan pengisytiharan hartanya ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.
Selain itu, dengan jumlah pendapatan bersih tertinggi pula adalah calon Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor (RM106 juta) dan calon Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan (RM63.5 juta).