PUCHONG: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader bimbang melihat keadaan penempatan kos rendah penduduk di Flat Taman Puchong Permai yang tidak dibaik pulih sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tiga penggal lalu.
Beliau menerima aduan penduduk yang meluahkan rasa kecewa dengan keadaan bumbung yang reput, berlubang, tergantung di mana sebarang kejadian tidak diingini mungkin berlaku.

Syed Ibrahim berkata, beliau berasa bimbang tahap keselamatan lebih 6,000 penghuni flat yang sudah berusia 25 tahun ini. Di sini terdapat 38 blok flat.
“Tidak boleh bayangkan jika hujan lebat, angin kuat boleh menyebabkan bumbung berkenaan jatuh menimpa orang ramai yang berada di bawah.
“Pagar tangga reput, berlubang dan jika kanak-kanak bermain di situ boleh terjatuh ke bawah, ia amat bahaya.
“Sudah ada kes nyaris jatuh tetapi dapat diselamatkan.
“Saya tidak faham kenapa dibiarkan isu keselamatan penduduk berlarutan terlalu lama, 15 tahun di bawah pentadbiran PH,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau berkata demikian ketika melakukan program Walkabout Calon BN di P103 Puchong ke lebih 20 rumah membabitkan enam blok flat berkenaan.

Turut menyertai walkabout Ketua Wanita UMNO Bahagian Puchong, Hasnah Dain serta mengiringi mereka, Ketua Wanita UMNO Pusat Daftar Mengundi (PDM) Puchong Permai, Rubiah Abdul Aziz.
Tinjauan MEDIA VARIASI ke flat maut berkenaan mendapati keadaan flat yang menempatkan lebih 6,000 penghuni itu amat tidak terurus, daif, busuk dengan bau sampah dan najis kucing di tangga-tangga dan paling mengancam adalah bumbung nak jatuh, pagar besi di tangga dan koridor yang boleh mengundang maut.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berjanji akan menyelesaikan masalah penempatan kos rendah di Puchong.
Beliau meluahkan rasa terkejut dan sedih melihat perkembangan berkenaan selepas membuat keputusan menyertai politik demi perjuangan untuk rakyat.
“Sebelum ini saya bergerak sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu menerusi KIMMA, isu ini tidak dibawa kepada saya.
“Saya amat berharap perubahan yang baik akan dapat dicapai jika BN diberi kuasa semula untuk mentadbir,” katanya.