KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mahu mengembalikan pembangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) beroperasi sehingga malam, Klinik 1Malaysia (KL1M) dan parkir bertingkat di pangsapuri sekitar Lembah Pantai, jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon BN, Datuk Ramlan Askolani mendapati tiga perkara itu antara keperluan terbesar yang tidak diambil perhatian wakil rakyat kawasan Parlimen Lembah Pantai, sejak 2018.
Katanya, jika UTC diwujudkan di kawasan itu, ia memberi kemudahan dan manfaat kepada penduduk Lembah Pantai untuk menyelesaikan urusan di pelbagai agensi yang disatukan menjadi pusat sehenti menyeluruh dan beroperasi di luar waktu pejabat termasuk hujung minggu.
UTC antara produk penyampaian perkhidmatan awam cemerlang di bawah Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) yang dilaksanakan ketika pimpinan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009.
“Sebelum ini, kita memang ada cadangan untuk bangunkan UTC di Dataran Sri Angkasa semasa zaman Datuk Seri Najib lagi, dah diluluskan pun tetapi projek terhenti ketika di bawah Pakatan Harapan dan PKR.
“Kalau dapat dinaik taraf UTC, ia lebih membantu terutama rakyat di Lembah Pantai, banyak manfaat khususnya mereka sibuk bekerja di Kuala Lumpur, boleh ke UTC yang beroperasi luar waktu pejabat, untuk selesai urusan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Ramlan turut mencadangkan KL1M diwujudkan kembali, sekitar kawasan itu, selain ditempatkan di UTC selain membina parkir bertingkat di pangsapuri yang mempunyai penduduk terlalu padat dan sesak.
Lembah Pantai menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, yang juga penyandang kerusi berkenaan, Ramlan (BN), Fauzi Abu Bakar dari Perikatan Nasional (PN) dan Dr Noor Asmah Mohd Razalli dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada hari mengundi PRU15.
Kerusi Lembah Pantai sebelum ini dimenangi Fahmi dengan majoriti 5,598 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Fauzi pada PRU14, 2018.