HomeBeritaPolitikJangan jadi pemimpin bermusim, jangan sombong - Irwan

Jangan jadi pemimpin bermusim, jangan sombong – Irwan

SETIAWANGSA: Pemimpin perlu turun padang dekati rakyat dengan kerap, dengar denyut nadi mereka, apa yang mereka mahu, bukan jadi pemimpin bermusim, rakyat pula tercari-cari siapa pemimpin kawasan,” jelas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

Beliau mengingatkan calon-calon yang terpilih malam tadi agar jadilah mesra rakyat, perlu diterima rakyat.

“Bagaimana nak diterima rakyat? Perlu dekati rakyat, bukan jauhi rakyat, kita pemimpin yang dekati rakyat santuni rakyat.

“Jangan lepas menang sombong pula, sentiasa mengingatkan diri untuk ‘improve’ dari semasa ke semasa walaupun tidak boleh memuaskan hati semua pihak namun rakyat akan menilai usaha dan keikhlasan kita,” katanya ketika ditemui pada program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma Cempaka Air Panas, di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, di sini, malam tadi.

Kira-kira 500 penunggang motosikal khususnya dari PPR Air Panas menerima bantuan berkenaan anjuran MyPrihatin Setiawangsa.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pengumuman Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Walaupun tidak tercalon di Parlimen Setiawangsa, namun beliau menerima dengan hati terbuka dengan ketetapan kepimpinan tertinggi parti berhubung senarai calon mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Irwan berkata, senarai yang diumumkan Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu dipercayai mengikut acuan kriteria dan ciri WALI yang digariskan iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi).

Katanya, selesai pengumuman itu malam tadi, parti sudah boleh memfokuskan gerak kerja meraih undi sasaran sekurang-kurangnya dua pertiga dan berpihak kepada BN secara total pada PRU nanti.

“Saya percaya, calon diumumkan adalah di atas keputusan kepimpinan tertinggi parti.

“Yang lebih penting ketika ini adalah mendapat mandat oleh rakyat. Jika mereka terima bermakna kepimpinan buat keputusan baik tepat dan bijaksana.

“Jika sebaliknya, kepimpinan perlu ‘check and balance’ perlu semak semula dan  bertanggungjawab dan itu jelas, tak perlu berdolak-dalik lagi,” katanya.

Mohd Irwan Rizal berkata, calon yang dikemukakan BN juga adalah calon pilihan parti, dan menasihatkan supaya bersaing pada pertandingan PRU nanti secara sihat.

“Kita cuba kurangkan kontroversi, tak mahu rakyat pening, tetapi beri rakyat kecapi kenikmatan kestabilan,” katanya.

Author

Pilihan Editor