HomeMV+PendapatJatuh hukum neraka, doktrin ekstrem PAS

Jatuh hukum neraka, doktrin ekstrem PAS

KEJUMUDAN PAS untuk kekal berkuasa sanggup menggunakan agama sebagai doktrin mereka bahawa menyokong UMNO dan PH boleh menyebabkan pengundi masuk neraka.

Kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Kedah, Mohd Shahiful Mohd Nasir bahawa itu adalah hukum Allah bukan sahaja menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam namun ia adalah doktrin palsu yang sewajarnya dikenakan tindakan Jabatan Agama Islam Kedah.

Rata-rata netizen menyelar adakah PAS berlagak Tuhan menentukan syurga neraka kepada sesiapa sahaja.

Tiada siapa yang mengetahui syurga neraka dengan lebih mendalam melainkan Allah SWT, itu kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Shahiful.

Menurutnya, tidak harus dikatakan bahawa seseorang itu akan dimasukkan ke neraka melainkan bagi seseorang yang disebut secara jelas di dalam nas Al-Quran atau hadis seperti Firaun dan Abu Lahab.

Ini kerana, kita tidak tahu secara pasti apa yang terkandung di dalam hatinya sama ada iman atau kufur.

Yang kedua, kita tidak tahu apa akan berlaku terhadap seseorang pada penghujung hayatnya di dunia ini.

Kemungkinan seorang kafir pada masa kini akan mengakhiri kehidupannya di dalam keimanan, begitu juga sebaliknya. Dalam erti kata lain, kesudahan nasib setiap manusia terletak di tangan Allah SWT.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, tindakan mengkafirkan seorang Muslim dengan sewenang-wenang adalah satu isu yang amat serius dan perlu dihindari.

Perbuatan itu merupakan sejenis pencerobohan ke atas kehormatan seorang Muslim yang dilarang dalam syariat Islam kerana akan memberi kesan buruk dalam memecahbelahkan masyarakat Islam selain menimbulkan suasana huru-hara dalam negara.

Analisis kewartawanan terhadap strategi PAS dan rakan sekutu Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN) ini mendapati faktor bangsa sepertimana diperjuangkan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak begitu memberikan impak yang kuat sebagaimana menggunakan faktor agama.

Misalnya memperjuangkan nasib orang Melayu tidak memberi kesan positif kepada bangsa lain.

PAS pernah menunjukkan sokongan terhadap negara yang dikuasai oleh ekstrimis atau pengganas agama iaitu Taliban, Daesh, ISIS dan lain-lain, di mana kumpulan ekstremis ini menganggap yang bukan sealiran sebagai sesat, neraka dan darah halal dibunuh.

Negara yang diterajui ‘penunggang agama’ ini sudah terbukti porak-poranda, kacau-bilau huru-hara hingga berbunuhan sesama sendiri sehingga berjaya menimbulkan Islamofobia kepada bukan Islam.

Merujuk rekod sejarah pada 7 April 1981, Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan Amanat Haji Hadi dalam ceramahnya di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu.

Amanat Haji Hadi sumber Google

Amanat beliau telah dicetak dan disebarkan ke seluruh negara, termasuk ditampal di masjid, surau, sekolah pondok, tahfiz, pejabat parti dan sebagainya.

Sedikit keterangan mengenai Amanat Haji Hadi ini boleh dilihat di laman web https://ms.wikipedia.org/wiki/Amanat_Haji_Hadi.

“Saudara-saudara sekalian, percayalah!
Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN,
bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan
penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh
kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita berjuang melawan
mereka.
Percayalah saudara–saudara!
Perjuangan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang
dengan puak–puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah
mati syahid, mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak
payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, Kita tidak payah masuk
Buddha tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku”.

Rentetan amanat ini telah berjaya dengan menimbulkan porak-poranda masyarakat waktu itu termasuklah jihad menjatuhkan kerajaan sedia ada, peristiwa Memali, peristiwa Al-Maunah, sembahyang dua imam, nikah oleh UMNO tak sah dan sembelihan oleh UMNO juga haram.

Walau pun amanat ini telah difatwakan bertentangan dengan ajaran Islam sebagai haram, sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1984 tetapi sehingga kini ia tidak pernah ditarik balik, tidak ada tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa (polis dan agama), malah Hadi dan ahli serta para penyokong parti PAS masih mempertahankannya.

Sumber Google

Jadi analisis penulis apabila kenyataan Pemuda PAS itu dikeluarkan baru-baru ini ia terbukti kesan pendoktrinan palsu yang terlalu lama dan tidak diambil perhatian telah melahirkan generasi ekstrem yang bertentangan daripada landasan Islam sebenar.

Mungkin Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin lupa bahawa pada 6 April 2013, beliau telah mengeluarkan kenyataan melabelkan parti PAS sebagai Parti Ajaran Sesat berikutan kenyataan kontroversi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa solat orang UMNO tidak diterima Allah yang disifatkannya sebagai fatwa songsang yang boleh mengelirukan rakyat.

Demi kuasa, kenyataan ini dilupakan dalam lipatan sejarah Bersatu, namun tidak dilupai daripada ingatan 32 juta rakyat lain.

Persoalannya adakah Bersatu juga akan didoktrin oleh anasir sebegini, cukupkah perisai Bersatu untuk hidup bersama tempoh waktu yang lama sedangkan rekod sejarah politik PAS ibarat dedalu menumpang di pokok, pokoknya lama-lama mati.

 

Author

Pilihan Editor