HomeBeritaPolitikKu Li beri bayangan PRU15 medan terakhir bertanding

Ku Li beri bayangan PRU15 medan terakhir bertanding

 

GUA MUSANG: Penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah medan terakhir beliau bertanding.

Beliau berkata, rekod sebagai Ahli Parlimen selama 12 penggal bukanlah suatu kemegahan tetapi menjadi tanda aras bahawa rakyat di kawasan itu masih memerlukan khidmatnya.

Katanya, beliau terharu dengan sokongan yang diterima terutamanya daripada masyarakat Orang Asli yang masih menginginkannya kekal bertanding pada PRU15.

“Orang Asli berkali-kali datang minta supaya saya jangan tarik diri kalau ditawarkan untuk bertanding.

“Saya sendiri dah lama sangatlah, dah patut beri jalan dekat orang lain. Barangkali ini (PRU) adalah the last hurrah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Ku Li di Bukit Cekati, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang mesra disapa Ku Li berkata, sekiranya berundur beliau akan memastikan UMNO Bahagian Gua Musang berada dalam keadaan baik dan tidak kucar-kacir.

“UMNO Bahagian Gua Musang mesti ada pelapis, saya tak mahu berundur dalam keadaan kucar-kacir. Kita mahu teruskan kestabilan dan saya nak ingatkan UMNO Bahagian Gua Musang mereka kena utamakan kepentingan rakyat daripada segala-galanya,” katanya. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor