KUALA NERUS: Sekian lama memendam rasa, pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain akhirnya meluahkan rasa terkilan dengan layanan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) terhadapnya.
Rasa kecewa yang disuarakan itu berkaitan dengan tawaran lanjutan kontrak sebagai pengendali skuad Penyu musim depan yang disifatkan sebagai tidak profesional dan menghormati kedudukannya sebagai ketua jurulatih.
Nafuzi berkata sebagai sebuah kelab profesional, tidak sepatutnya TFCSB menggunakan khidmat ‘kitman’ sebagai orang tengah untuk menyerahkan surat tawaran tanpa beliau dipanggil untuk sebarang perbincangan.
“Saya betul-betul terkilan dilayan seperti itu. Saya terima surat tawaran lanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober pada 29 Oktober dan ia diserahkan oleh kitman kepada saya di padang ketika latihan,” katanya selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.
TFC menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan KL City dengan agregat 4-1.
Menurut Nafuzi, beliau terpaksa meluahkan segala rasa yang terbuku di hati kerana pengorbanannya dirasakan seperti tidak dihargai dan sebagai majikan, TFCSB berhak untuk membuat sebarang keputusan berkaitan kontrak, tetapi perlu dilakukan secara profesional.
“Sepatutnya perlu ada perbincangan untuk hala tuju pasukan dan persediaan musim depan, perancangan jurulatih dan pihak pengurusan perlu selari kerana itu yang terbaik.
“Tetapi itu tak berlaku, saya diberi tawaran dan perlu setuju dengan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan, sama seperti apa yang berlaku tahun lepas,” katanya.
Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata tempoh 14 hari untuk beliau mengemukakan jawapan balas berhubung tawaran lanjutan kontrak itu berakhir hari ini.
Katanya, beliau akan hadir ke pejabat TFCSB untuk menyerahkan surat jawapan, sekali gus mengakhiri semua tanda tanya serta khabar angin mengenai hala tuju jurulatih muda itu di Liga Malaysia musim depan.
“Apa pun keputusan saya, ia bukanlah disebabkan faktor wang atau gaji. Apa yang saya harapkan cuma sedikit penghargaan setelah membawa TFC ke pentas final Piala FA dan Piala Konfederasi Asia (AFC) tahun depan,” katanya. – BERNAMA