HomeBeritaNajib gesa individu dalam 'PAS Leak' lapor polis

Najib gesa individu dalam ‘PAS Leak’ lapor polis

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa nama-nama yang didedahkan dokumen minit mesyuarat digelar “PAS Leak” yang tular awal tahun untuk tampil membuat laporan polis.

Menerusi laman FB miliknya, beliau berkata, dokumen yang tular itu jika benar menunjukkan rancangan jahat pada awal tahun untuk menjatuhkannya dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Betapa keji permainan mereka. Sanggup salah gunakan kuasa bagi mencapai matlamat.

“Tiada sebarang penafian dari sesiapa sejak itu,” tulisnya di FB.

Hantaran di laman FB Najib pada Jumaat menamakan beberapa individu yang dituntut memberi penjelasan atau membuat laporan polis sekiranya kandungan dokumen berkenaan adalah palsu.

Hantaran tersebut menamakan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS); Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO); Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (UMNO); Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddn (Setiausaha Agung Bersatu).

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein  menegaskan tidak pernah terlibat dalam sebarang perancangan pembentukan kerjasama bersama PAS seperti didakwa dalam dokumen sulit ‘PAS Leak’.

Bekas Menteri Pertahanan itu dalam ruangan komen di Facebook Najib menegaskan, beliau telah membuat kenyataan menafikan keterlibatkannya dalam sebarang rancangan seperti yang didakwa.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial beberapa keratan dokumen kandungan minit mesyuarat melibatkan sebilangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) merancang strategi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim juga menyatakan polis telah membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti laporan diterima daripada pengadu berkaitan dokumen ‘PAS Leak’ yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin PAS.

Author

Pilihan Editor