HomePendidikanPelajar sekolah Malaysia menang tempat teratas semua kategori Universal Robotics Challenge 2022

Pelajar sekolah Malaysia menang tempat teratas semua kategori Universal Robotics Challenge 2022

KUALA LUMPUR: Pelajar beberapa sekolah Malaysia muncul pemenang tempat pertama dalam kesemua empat kategori pada peringkat antarabangsa pertandingan maya Universal Robotics Challenge (URC) 2022.

Keputusan pertandingan anjuran Artec Co, Ltd dari Jepun itu diumumkan Tuan Rumah Kebangsaan bagi URC 2022 iaitu Tech Up Sdn Bhd pada Selasa.

Ahli Jawatankuasa dan Presiden Artec Co, Ltd, Etsu Fujiwara berkata, mereka bersyukur masih dapat menganjurkan Universal Robotics Challenge walaupun dalam format secara eksklusif dalam talian akibat terkesan pandemik COVID-19 sehingga tahun ini.

“Tema kami tahun ini berkisar pada keselamatan trafik. Sukar sembunyikan rasa terkejut saya terhadap kesedaran keselamatan yang tinggi dan kepintaran yang ditampilkan hasil kerja setiap peserta.

“Saya bangga pertandingan ini dapat mendorong peserta kami berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah. Tahniah kepada semua pemenang dan semua peserta URC 2022, teruskan keghairahan dan terus belajar!” katanya.

Pemenang tempat pertama dalam acara Idea Contest (kategori Junior) ialah Ahmad Aiman Danish Ahmad Syahir, Muhammad Harith Zaeem Hizamuddin dan Adam Hariz Abdul Halim dari Sekolah Kebangsaan Sungai Udang.

Pemenang tempat pertama Idea Contest (kategori Senior) ialah Muhammad Aliff Norhamizam, Muhamad Afif Muhamad Rizuan dan Zulhafidz Ngisa dari Sekolah Bina Insan Yayasan MSU.

Pemenang teratas dalam acara Virtual Robotics (kategori Junior) ialah Mi’ Mar Muhammad Sinan Hafizulfahmi dari Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak.

Manakala pemenang tempat pertama dalam Virtual Robotics (kategori Senior) pula ialah Orhan Ghazi Hafizulfahmi dari Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak.

Pelajar-pelajar tersebut merupakan peserta peringkat akhir teratas pada peringkat kebangsaan sebelum mewakili Malaysia bertanding menentang peserta dari Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina, dan Korea Selatan.

Para pemenang URC 2022 menerima sebuah kit ArtecRobo 2.0 daripada Artec Co, Ltd dan URC 2022 mencatat sejumlah 81 peserta dalam acara Idea Contest berserta 655 peserta dalam acara Virtual Robotics pada peringkat pusingan kebangsaan Malaysia.

URC merupakan pertandingan robotik peringkat antarabangsa bagi murid sekolah rendah dan menengah rendah yang dihoskan secara rasmi oleh Jawatankuasa Eksekutif Universal Robotics terdiri daripada 38 orang hakim dari 14 negara tahun ini.

Dalam Idea Contest, peserta diminta mencipta projek menggunakan set ArtecRobo sebenar dan memuat naik videonya di YouTube, dan dalam Virtual Robotics, pelajar diuji kemahiran mengaturcara menggunakan perisian simulator robotik dalam talian di pelayar internet.

Tahun ini merupakan pertama kali URC mendapat peserta dari negara-negara Amerika Latin seperti Colombia dan Chile di samping peserta baru dari China dan Filipina.

Artec Co gembira dengan peningkatan sambutan dan berharap lebih banyak lagi akan turut serta dari Kanada, Mesir, Mexico, Arab Saudi, Thailand, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, sebagai tuan rumah kebangsaan, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up, Ainaa Rosli mengucapkan tahniah kepada semua peserta URC 2022 tahun ini, terutamanya sekolah-sekolah dan peserta kali pertama yang berani mengambil langkah pertama mempelajari robotik dan menggunakan STEM.

“Kemenangan SK Sungai Udang dalam Idea Contest tahun ini hasil usaha bertahun-tahun. Sekolah ini memulakan langkah dalam robotik dengan menyewa sebuah set ArtecRobo.

“Mereka kemudian mendapat sebuah set ArtecRobo percuma melalui program Robot4School yang dianjurkan Tech Up Kids Learning pada 2020. Kejayaan mereka hari ini adalah contoh ketekalan dan dedikasi sekolah, guru, dan pelajar selama tiga tahun!

“Tech Up juga berasa sangat bangga kerana perisian yang kami bangunkan, GoTechUp x ArtecRobo, dipilih sebagai perisian rasmi Virtual Robotics untuk kali kedua oleh URC.

“Perisian tergamifikasi untuk URC 2022 telah dibangunkan dengan tema berkisar pada keselamatan trafik yang membolehkan murid merancang strategi dan menghabiskan misi sambil menggunakan konsep pengaturcaraan robotik ArtecRobo,” kata Ainaa.

Author

Pilihan Editor