PUCHONG: Peniaga, Norizan Samad menggesa kesemua pengundi yang terdiri daripada anak muda di Puchong agar mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Norizan berkata kepada MEDIA VARIASI betapa pentingnya anak muda di Puchong untuk mengundi BN agar peniaga-peniaga kecil di kawasan itu tidak ditindas kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara berterusan.
Menurutnya, kebanyakan peniaga kecil yang berniaga di jalan sekitar Bandar Bukit Puchong sentiasa disaman Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
“Sedar tak, kawasan kita meniaga dekat sini, datang tiap-tiap bulan, MBSJ datang. Yang dekat atas sana itu siapa? Semua DAP yang duduk dekat atas sana.
“Yang duduk dekat kedudukan atas MBSJ itu DAP, dia tindas kita, tiap-tiap bulan datang sini saman, kita bayar saman sedangkan dulu kami meniaga lebih 10, 15 tahun tidak pernah ada orang datang saman kami dekat sini.
“Sedar-sedarlah anak muda, kamu akan menjadi seorang peniaga juga, terutama sekali anak-anak saya sendiri pun, semua anak buah saya, saya nak beritahu undilah BN,” ujarnya tegas.
Tambah Norizan, kebanyakan peniaga yang ditindas dengan saman ini hanya mampu membayar sahaja memandangkan mereka tidak mempunyai lesen perniagaan.
“Yang kami peniaga-peniaga kecil yang mendapat pendapatan berapa ringgit sahaja ini disaman.
“Tetapi kami bayar sahajalah sebab kami tidak ada lesen, nak ambil lesen asyik tak diluluskan, sentiasa tidak lulus,” jelasnya lagi.
Norizan ditemui MEDIA VARIASI ketika calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menyantuni peniaga-peniaga kecil di jalan sekitar Bandar Bukit Puchong pada Khamis.
