HomeBeritaPolitikPH lebih 'gentleman', PN masih dengan perangai lama - Asyraf Wajdi

PH lebih ‘gentleman’, PN masih dengan perangai lama – Asyraf Wajdi

CYBERJAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan pertemuan kepimpinan BN dengan PN di Hotel St Regis pada Rabu adalah selaras dengan pendirian Dewan Tertinggi BN.

Jelasnya, Dewan Tertinggi BN berpendirian untuk bersikap terbuka bagi bertemu dan berunding dengan dua parti gabungan terbesar PH dan PN bagi membincangkan mengenai Kerajaan Perpaduan.

Asyraf berkata dalam kenyataan Facebooknya, pertemuan kepimpinan BN dan PH di Hotel Seri Pacific pada Isnin lalu adalah bagi membentangkan terma-terma dan tawaran mereka jika BN bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH.

“Kepimpinan PH lebih ‘gentleman’ dan beradab dengan membuat pertemuan secara rasmi dengan tujuh orang kepimpinan BN bagi menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan kepimpinan BN.

“Sebaliknya, PN masih dengan perangai lama cuba buat ‘dealing’ secara senyap-senyap dan mencuri 10 orang Ahli Parlimen untuk tanda tangan Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Sebab itulah, pertemuan dengan PN yang sepatutnya dijadualkan sejak dua hari lalu terpaksa ditunda beberapa kali. (Kononnya, PN sudah cukup ‘numbers’, bilangan Ahli Parlimen yang menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Hinggalah apabila 10 SD yang ditandatangani Ahli-ahli Parlimen BN ditarik balik atas arahan Dewan Tertinggi BN, barulah mereka menyatakan kesediaan untuk bertemu pada hari ini jam 3.30 petang,” kata Asyraf.

Menurutnya, PN juga hanya bersedia berjumpa mereka selepas Pengerusi PN, Muhyiddin dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dimaklumkan secara rasmi bahawa beliau sudah tidak cukup bilangan SD yang menyokong.

“Apa-apapun malam ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan memperhalusi kedua-dua tawaran PH dan PN sekaligus akan akur dengan Titah Tuanku Agong yang menitahkan agar BN sokong untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Cuma persoalannya mengapakah PN begitu bongkak dan sombong untuk menolak Titah Nasihat Tuanku Agong agar dibentuk Kerajaan Perpaduan ya?” soalnya sinis.

Untuk rekod, selepas dipanggil menghadap Agong pada Selasa, Muhyiddin pada hari yang sama menyatakan beliau menolak saranan Agong agar PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan.

Pada Rabu pagi, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa Agong telah meminta BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan semasa menghadap beberapa wakil gabungan itu di Istana Negara.

Author

Pilihan Editor