HomeBeritaPPIM seru semua pihak terima titah Agong

PPIM seru semua pihak terima titah Agong

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merafak sembah di atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatiddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, untuk melantik Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Ketua Aktivis PPPIM, Datuk Nadzim Johan turut menyembah takzim titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang turut memberi pandangan dalam proses untuk Agong berkenan melantik PM ke-10.

“PPIM berharap semua rakyat walaupun daripada latar belakang berbeza tetap berlapang dada untuk mendukung pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.

“PPIM juga berharap isu keabsahan moral berkait dengan jumlah Surat Akuan Bersumpah (SD) dari Ahli Parlimen yang diketengahkan oleh Perikatan Nasional dapat jawapan sewajarnya pada 19 Disember 2023 sidang Parlimen pertama yang akan diadakan nanti,” katanya.

Bagaimanapun katanya, PPIM berharap semua pihak jalan terus ke hadapan, fokus kepada aspek pemulihan ekonomi diri dan keluarga, hentikan tuduh menuduh, tuding menuding kerana akhirnya kita kembali menjadi satu.

“Kami sebagai NGO berharap rakyat berbilang kaum dapat hidup harmoni dibawah Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan bawah Majlis Raja-raja ini, semoga Allah menjaga rakyat dan tanah air tercinta,” katanya.

Author

Pilihan Editor