HomeBeritaPolitikPRU15: Azmin dakwa DAP singgung perasaan orang Melayu

PRU15: Azmin dakwa DAP singgung perasaan orang Melayu

GOMBAK: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) khususnya dari  DAP telah menjentik perasaan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kata Azmin, kekalahan PH di dalam enam Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika gabungan itu memerintah negara pasca PRU14 merupakan mesej yang jelas dari rakyat Malaysia penolakan terhadap mereka.

Jelasnya lagi, beberapa tindakan dilakukan bekas Menteri Kewangan di bawah kerajaan PH, Lim Guan Eng ketika PH menjadi kerajaan selepas 2018.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10), peruntukan siling pembangunan untuk TERAJU telah ditetapkan sebanyak RM2 billion. Ini bermakna TERAJU diperuntukkan RM400 juta pada setiap tahun.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke 14, sejumlah RM700 juta telah disalurkan kepada agensi ini. Kerajaan memberi mandat kepada TERAJU membantu syarikat-syarikat bumiputera yang kecil seperti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memberi peluang mengembangkan perniagaan mereka.

“Namun selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada tahun 2018, peruntukan TERAJU telah dihentikan. Saya membangkitkan perkara ini ketika Menteri Kewangan pada era kerajaan PH, Lim Guan Eng membentangkan belanjawan tahun 2020 di Parlimen tahun 2019, saya telah menulis surat kepada Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir untuk mengembalikan peruntukan sebanyak RM400 juta di tahun 2020 untuk membantu 10,000 usahawan dan 200 syarikat Bumiputera.

“Malangnya apa yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng hanya berjumlah RM100 juta sahaja. Bagi saya, ini satu penafian hak untuk Bumiputra,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Parlimen Gombak di SMK Sungai Pusu.

Menurut Azmin, beliau tidak membawa pendekatan berunsur rasis namun keutamaan perlu diberikan kepada Bumiputera dengan menyediakan peruntukan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, penyandang ahli Parlimen Gombak itu turut menyatakan peruntukan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman yng berada di bawah pentadbiran MCA turut dihentikan oleh Guan Eng semasa menjadi Menteri Kewangan.

“Begitu juga dengan peruntukan Kolej TAR, Guan Eng dakwa ia diuruskan oleh MCA maka ia harus dihentikan. Tetapi yang menyalurkan semula peruntukan kepada Kolej TAR ialah Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN).

“Ini bukan soal kaum tetapi ini hak pendidikan merentas kaum untuk rakyat di negara tidak seharusnya menjadi modal politik oleh PH. Ada lagi banyak contoh sebab itu peluang telah diberikan kepada PH namun mereka gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat, dan menjaga keharmonian,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor