BANGI: Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di 121 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti tersebut akan bertanding dengan menggunakan nama di bawah Parti Pejuang Tanah Air yang merangkumi empat lagi parti komponennya di bawah PUTRA, IMAN, Berjasa dan Gagasan Bangsa dalam gabungan GTA.
“GTA belum didaftar kepada kerajaan. Itu sebab kita perlu bertanding di bawah nama parti Pejuang. Jangan lupa kita undi bukan untuk hanya parti Pejuang, tetapi kita undi untuk Gerakan Tanah Air.
“Jangan keliru, dalam pilihan raya kita pangkah huruf PA dan simbol parti pejuang dan kita beri kemenangan kepad GTA dan mampu mendirikan kerajaan. Kerana kita akan bertanding lebih 120 lebih kerusi di mana kita perlu 112 kerusi untuk memperoleh kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 Gerakan Tanah Air di Bangi Convention Centre, di sini, pada petang Rabu.
Antara calon yang menjadi tumpuan diumumkan adalah Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Sepang) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa).
Selain itu, Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahya diletakkan sebagai calon di Temerloh sementara Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan yang juga merupakan pelakon dan pengarah Ahmad Idham Nazri akan bertanding di Port Dickson.
Turut diumumkan sebagai calon adalah Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando di Tanjong Karang dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof di kawasan Sabak Bernam.