SETIAWANGSA: Dalam dunia hari ini tiada yang mustahil boleh berlaku, termasuk nama calon yang masih boleh bertukar di saat akhir sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini.
Dengan kata lain, selagi watikah belum sampai ke tangan masih ada perubahan yang boleh berlaku, tidur malam pasti tidak lena sehingga tiba ke saat itu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, mengikut pengalamannya, senarai calon boleh berubah pada saat akhir.
“Itu pernah berlaku dan mungkin akan berlaku, selain itu ada juga calon yang menarik diri apabila sedar sukar dapat sokongan.
“Ada banyak faktor, ada juga tarik diri untuk beri peluang kepada calon yang layak, ini soal kemenangan parti bukan individu,” katanya ketika ditemui pada program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma Cempaka Air Panas, di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, di sini, malam tadi.
Kira-kira 500 penunggang motosikal khususnya dari PPR Air Panas menerima bantuan berkenaan anjuran MyPrihatin Setiawangsa.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pengumuman Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Walaupun tidak tercalon di Parlimen Setiawangsa, namun beliau menerima dengan hati terbuka dengan ketetapan kepimpinan tertinggi parti berhubung senarai calon mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam pada itu, Irwan memberitahu, penamaan calon pada 5 November nanti macam-macam boleh berlaku.
“Ini ketentuan Tuhan, kita semua kena bersangka baik, kalau kebetulan nama yang dicalon tak dinamakan, jangan sabotaj pula.
“Jika tak puas hati guna saluran yang betul, jangan bersikap tiada kuasa semua usaha untuk rakyat dihentikan.
“Tindakan tutup bilik gerakanlah, kumpul akar umbi guna TikTok nyatakan tidak puas hatilah ia sikap tidak matang dan rakyat akan menilai semua ini jangan lupa.
“Saya tidak bersikap hipokrit, setiap orang pemimpin pilihan mereka suka dan tiada siapa boleh halang suka orang ini tak suka orang itu tetapi akhirnya semua sepatutnya ada matlamat sama iaitu untuk pastikan BN menang.

“Tanyalah penduduk Setiawangsa, walaupun saya bukan Ahli Parlimen di sini saya tidak pernah hentikan khidmat bakti saya di sini bukan hanya lima tahun sekali, saya konsisten sebab ini amanah rakyat untuk saya.
“Contoh idea saya pemberian petrol percuma sudah masuk kali kelima sejak tahun 2019 lagi, sekarang Bersatu, Perikatan Nasional semua ikut buat juga, baguslah rakyat yang untung.
“Jangan kecewa, jangan putus asa sebab tanpa kuasa pun kita masih bantu orang, setiap perkara sekecil-kecil perbuatan akan dinilai Tuhan dan pastinya akan sampai juga di hati manusia,” katanya.