HomeHiburanPRU15: Selepas tarik diri, Diva AA umum sokong Pakatan Harapan

PRU15: Selepas tarik diri, Diva AA umum sokong Pakatan Harapan

GOMBAK: Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih mesra dipanggil sebagai Diva AA menyatakan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan bagi kawasan Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari selepas membuat keputusan untuk menarik diri dari bertanding di kerusi panas itu.

Azwan menyatakan pendirian berkenaan selepas mengumumkan penarikan diri dari bertanding atas faktor mendengar bisikan dari ibunya, Mak Tom melalui mimpi pada waktu selepas Subuh awal pagi hari penamaan calon ini supaya tidak bertanding melawan abangnya, Calon Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

“Selepas mengambil keputusan untuk menarik diri dari bertanding di Parlimen Gombak, saya sepenuh hatinya menyokong parti Pakatan Harapan dan calonnya, Amirudin Shari.

“Apa pun kesalahan lalu yang dilakukan oleh pengasas iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa penubuhan Pakatan Harapan, kita perlu lupakan dan buka lembaran baru demi negara kita dengan melihat kredibiliti beliau bersama pasukannya termasuk calon mereka di Parlimen Gombak ini yang terbukti mempunyai rekod pentadbiran cemerlang di Selangor.

“Kepada pengundi Selangor, saya minta untuk membuat keputusan yang baik mengundi parti dan calon anda kerana saya percaya pengundi di Gombak ini tidak bodoh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika tiba di pusat penamaan calon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, pagi Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga menafikan keputusan penarikan diri beliau bertanding di Parlimen Gombak disebabkan tidak mempunyai jumlah wang deposit yang mencukupi sebanyak RM10,000 untuk bertanding.

“Walaupun saya tidak mempunyai penaja itu tidak bermaksud saya tidak mempunyai duit,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor