HomeBeritaSemboyan gesa pantau kegiatan penilai insurans, elak penipuan

Semboyan gesa pantau kegiatan penilai insurans, elak penipuan

AMPANG: Seorang ejen insurans pernah berkongsi pengalamannya kepada media di mana wujud pembabitan penilai atau adjuster dalam ketirisan tuntutan insurans di negara ini.

Ini kerana penilai insurans kemalangan boleh membuat runding harga tanpa pemantauan sesiapa dan ada rangkaian dalam industri ini.

Ejen berkenaan memberi contoh nilai harga kerosakan kereta yang perlu dibaiki sebanyak RM8,000 tetapi mereka boleh menaikkan nilai kerosakan sehingga RM30,000.

Penilai kemalangan dikatakan akan membuat penilaian berkali ganda demi mengaut keuntungan besar sebelum diagihkan bersama pihak berkuasa, penarik kereta, tauke bengkel dan pemilik kenderaan.

Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi mencadangkan mesti ada pemantauan terhadap kumpulan penilai dalam menentukan kos kemalangan berkenaan.

“Sebab yang menguruskan tuntutan insurans ini adalah adjuster, agensi kerajaan tidak terlibat langsung.

“Jika melibatkan cukai, hanya JPJ terlibat tetapi untuk tuntutan insurans, adjuster yang menetapkan harga mengikut kesesuaian.

“Sebenarnya adjuster telah terlibat dengan semua aspek tuntutan, contohnya perumahan berharga RM200,000 insurans sahaja RM5,000,” katanya selepas sidang media Semboyan Malaysia bekerjasama dengan DFZ Agency Sdn Bhd, syarikat penilai anak Melayu, DFZ Agency Sdn Bhd dalam menangani Agenda Scammer Insurans dan Polisi Kosong.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif DFZ Agency Sdn Bhd, Abd Hafiz Abd Majid.

Semboyan Malaysia turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) syarikat DFZ Agency Sdn Bhd sebagai pakar rujuk kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai nilai kerugian yang mereka alami dalam kemalangan.

Tambah Yusuf, menerusi jalinan dua hala ini diharap pihak penilai tidak sewenang-wenangnya menipu orang ramai khususnya golongan B40 dalam tuntutan insurans mereka.

Author

Pilihan Editor