HomeHiburanTabung kecemasan bantu tampung kos perubatan Nad Zainal dilancarkan

Tabung kecemasan bantu tampung kos perubatan Nad Zainal dilancarkan

CYBERJAYA: Penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin memaklumkan satu tabung kecemasan bagi membantu menampung kos perubatan pelakon, Nad Zainal dilancarkan.

Menerusi hantaran di Instagram, Shahrulezad menyatakan inisiatif itu dilaksanakan oleh rakan-rakan dan peminat pelakon ‘Hati Yang Tersakiti Itu’ bagi meringankan beban keluarganya.

“Tabung ini bertujuan menampung kos rawatan perubatan di hospital pakar untuk meringankan beban keluarganya.

“Bagi semua yang prihatin, mari kita sama-sama berganding bahu untuk membantu,” tulisnya pada Selasa.

Dalam pada itu, Shahrulezad turut memaklumkan Nad atau nama penuhnya, Farah Nadia Zainal Abidin masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Justeru, dia berharap orang ramai dapat menitipkan doa untuk Nad supaya dikurniakan kesembuhan.

“Jangan kita lupa titipkan doa untuk Nad Zainal agar kembali pulih sepenuhnya dan jangan lupa juga untuk kongsikan post ini agar lebih ramai dapat turut membantu.

“Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Echa selaku PA (pembantu peribadi) Nad Zainal di 012-3458623,” ujarnya.

Minggu lalu, Nad dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan sekitar Ampang selepas mengadu tidak sihat dan mengalami sakit dada serta kesukaran bernafas.

Keadaan pelakon itu dilaporkan kritikal selepas doktor mengenal pasti berlaku jangkitan kuman pada paru-parunya, selain pendarahan teruk pada organ tersebut.

Author

Pilihan Editor